Jaecoo Malaysia telah mengumumkan ia kini telah dijenamakan semula dan dikenali sebagai Omoda | Jaecoo Malaysia. Langkah itu dilakukan bersempena dengan ulang tahun pertama syarikat itu dan sejajar dengan strategi global Chery yang menyaksikan beberapa pasaran menggunapakai jenama ‘Omoda | Jaecoo’.
“Pembaharuan jenama ini mencerminkan keyakinan kami terhadap pasaran dan peluang pertumbuhan di sini. Sebagai sebuah jenama dinamik yang memahami kecenderungan dan keperluan pengguna, kami bertekad untuk menambah baik cara orang ramai menikmati pengalaman bersama jenama OMODA ꟾ JAECOO.
“Berbekalkan barisan kenderaan kami yang canggih dan berprestasi tinggi, kami berusaha membawakan pengalaman gaya hidup khas untuk pemilik SUV kegunaan lasak premium keluaran kami di Malaysia,” kata Naib Presiden OMODA ꟾ JAECOO, Emily Lek.
Pada tahun lalu, lebih 12,000 kenderaan Jaecoo telah didaftarkan dan rangkaian jenama itu berkembang kepada 45 pengedar di seluruh negara. Syarikat itu turut membawa Sistem Super Hibrid (SHS) ke Malaysia dengan pelancaran J7 PHEV pada Februari tahun ini.
Pengumuman penjenamaan baharu ini dibuat menerusi acara Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) semalam, dengan syarikat itu turut memperkenalkan Omoda C7, crossover segmen-C yang akan dilancarkan untuk pasaran tempatan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.