AMSTERDAM: Orang ramai yang mempunyai gejala Covid-19 selepas ke kawasan terjejas akibat penularan virus itu baru-baru ini, dinasihatkan tidak menghadiri perbicaraan MH17 yang akan bermula minggu depan di Belanda, kata pegawai.
Pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014, mengorbankan semua 298 penumpang dan kru.
Empat suspek yang terdiri daripada 3 warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine akan dibicarakan tanpa hadir pada Isnin depan.
Mahkamah di Belanda berkata, perbicaraan itu akan dimulakan seperti jadual.
“Badan kehakiman Belanda sudah mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu untuk mencegah penularan koronavirus,” menurut satu kenyataan.
“Bagaimanapun, kami menasihatkan orang ramai yang pernah ke kawasan berisiko dan mempunyai gejala demam atau selsema supaya berada di rumah.”
Institut Kesihatan dan Alam Sekitar Belanda (RIVM) berkata, 6 lagi individu disahkan positif Covid-19 hari ini, menjadikan keseluruhannya 24 kes di negara itu setakat ini.
Ratusan waris mangsa dan wartawan sudah mendaftar menghadiri perbicaraan itu di sebuah mahkamah khas berkawalan keselamatan tinggi berhampiran Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam.
Perbicaraan itu akan disiarkan menerusi strim video.
Source link