Negeri Sembilan melarang pekerja asing daripada menetap di kawasan berstatus kediaman susulan aduan gangguan dan masalah kebersihan.
PETALING JAYA: Larangan pekerja migran tinggal di kawasan berstatus kediaman akan mewujudkan perpecahan masyarakat dan sentimen “kita lawan mereka”, menurut aktivis pengguna.
Wakil Malaysia bagi Pusat Pilihan Pengguna berpangkalan di Washington, Tarmizi Anuwar berkata pengumuman larangan dikeluarkan kerajaan Negeri Sembilan bercanggah prinsip keterangkuman dan boleh mengakibatkan ketegangan sosial.
Dasar tersebut akan menyumbang peningkatan perbelanjaan kepada pekerja migran, memandangkan hidup di zon komersial menjadikan kos lebih tinggi.
Pada 29 Jan, Exco Negeri Sembilan J Arul Kumar, berkata majikan mesti memindahkan pekerja mereka ke zon komersial atau asrama (Pusat Penempatan Pekerja Asing), menjelang 2024.
Arul berkata, kerajaan negeri akan menggalakan pembinaan atau penukaran bangunan kepada asrama, susulan aduan pekerja migran di kawasan perumahan mencetuskan gangguan dan masalah kebersihan.
Katanya, cadangan pusat penempatan berpusat itu mesti berpagar, sentiasa dipantau, dan dilengkapi kemudahan asas selain mematuhi semua syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan, termasuk Jabatan Buruh.
Pengarah Eksekutif North South Adrian Pereira, berkata tidak sepatutnya berlaku segregasi dalam masyarakat.
“Tiada undang-undang pemencilan masyarakat, dan siapa yang memberikan mereka hak menentukan perkara ini? Hari ini, mereka kata pekerja migran. Esok, siapa pula mahu dipisahkan dan dipinggir daripada masyarakat,” katanya kepada FMT.
Aktivis bebas hak pekerja migran, Andy Hall berkata, golongan berkenaan tidak sepatutnya diletakkan dalam situasi terasing dan di kawasan terpencil tanpa akses mudah untuk membeli bahan makanan pada harga munasabah, serta berhubungan dalam aktiviti sosial dan keagamaan.
Hall berkata, pusat penempatan mesti disediakan kemudahan memasak dengan selamat dan diberi kebebasan untuk bergerak.
Related Posts