Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memaklumkan Jalan Batang Kali-Genting Highlands Seksyen 14, Hulu Selangor, akan dibuka semula pada 5 petang esok dengan kawalan pihak berkuasa, setelah ditutup sejak 16 Disember lalu ekoran tragedi tanah runtuh di kawasan berkenaan.
Menurut JKR, walau bagaimana pun ia melibatkan laluan sementara yang akan dibuka satu lorong sahaja dan terhad kepada pekerja di kawasan Genting Highlands yang mempunyai surat pengesahan majikan selain kenderaan kelas 1 (motokar, teksi dan kenderaan pelbagai guna) serta kenderaan kelas 6 (motosikal dan skuter).
Selain itu, pengguna yang menggunakan laluan tersebut tidak dibenarkan berhenti di kawasan kejadian tanah runtuh.
“Pengguna hendaklah berhati-hati ketika melalui laluan tersebut dan sila patuhi arahan papan tanda yang telah disediakan kerana kerja-kerja pemantauan cerun masih berjalan,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, JKR turut menyarankan pengguna jalan raya untuk menggunakan laluan alternatif iaitu laluan Ulu Yam-Batu Caves dan laluan Kuala Lumpur-Ipoh bagi mengurangkan risiko kesesakan.