Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias antara 10 Ahli Parlimen BN yang didedahkan menandatangani SD menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Tindakan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas PRU15 bukan pengkhianatan atau membelakangkan parti, Jalaluddin Alias.
Ahli Parlimen Jelebu itu berkata tindakannya dan sembilan lagi Ahli Parlimen menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dibuat selaras naratif parti ketika itu.
“Bila parti sudah buat keputusan akhir untuk menerima kerajaan perpaduan, maka kami yang 10 ini menarik diri dan buat pembatalan SD untuk mengikut keputusan parti.
“Saya tidak fikir itu satu perkara yang membelakangkan parti atau boleh dikatakan khianat kepada parti,” katanya ketika ditemui di Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi mendedahkan 10 Ahli Parlimen BN yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri selain Jalaluddin ialah Hishammuddin Hussein (Sembrong), Hasni Mohammad (Simpang Renggam), Wee Ka Siong (Ayer Hitam), M Saravanan (Tapah), Wee Jeck Seng (Tanjung Piai), Isam Isa (Tampin), Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah), Arthur Joseph Kurup (Pensiangan) dan Abdul Rahman Mohamad (Lipis).
Jalaluddin berkata, beliau dianggap mengkhianati parti jika bersama pembangkang untuk mengalahkan calon BN lain ketika menghadapi PRU15 atau tetap kekal menyokong Muhyiddin selepas Umno dan BN memutuskan menyertai kerajaan perpaduan.
Sebaliknya, kata Jalaluddin pada PRU15 beliau berusaha membantu memenangkan BN dan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.
“Saya bertanding atas tiket BN. Bila parti buat keputusan, kita akur.
“Kecuali bila parti dah buat keputusan, kita masih kekal dengan pendirian itu, itu sudah khianat pada keputusan parti,” katanya.