Kawasan bendang di Kampung Pohon Tanjung, Pasir Mas meriah dengan hampir 200 kaki pancing beradu nasib dalam pertandingan ‘Flood Haruan Challenge’. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu, Kelantan, Perak dan Sarawak bertambah baik dengan jumlah mangsa menunjukkan trend penurunan berbanding pagi tadi, manakala jumlah mangsa akibat fenomena air pasang besar di Sabah meningkat.
Di Terengganu, keadaan banjir terus bertambah baik apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) terus menunjukkan penurunan kepada 3,908 orang berbanding 5,810 orang pagi tadi, dengan semua PPS di Setiu ditutup.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, 30 PPS masih beroperasi di enam daerah yang menempatkan 1,182 keluarga dan keadaan cuaca hari ini juga dilaporkan cerah.
Kuala Terengganu merekodkan 539 mangsa, Besut (233), Dungun (575), Marang (76), Hulu Terengganu (1,105) dan Kuala Nerus (1,380).
Di Kelantan, seramai 7,746 mangsa banjir daripada 2,561 keluarga berlindung di 19 PPS, membabitkan jajahan Pasir Mas dan Tumpat petang tadi berbanding 12,786 mangsa banjir daripada 4,393 keluarga pagi tadi, menurut kenyataan JPBN.
Berdasarkan laman hanya Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas melepasi paras bahaya dengan bacaan 9.30m.
Di Perak, bilangan mangsa banjir menurun sedikit kepada 62 orang daripada 14 keluarga di Hilir Perak, setakat 4 petang tadi berbanding 75 orang daripada 19 keluarga sebelum itu.
Sekretariat JPBN Perak memaklumkan, PPS SK Sungai Tiang Darat di Bagan Datuk yang menempatkan 13 mangsa daripada lima keluarga ditutup pada 12 tengah hari tadi.
Jumlah mangsa banjir di Sarawak pula menyaksikan penurunan mendadak setakat 3 petang tadi, dengan hanya 84 mangsa daripada 27 keluarga masih berada di PPS berbanding 1,424 orang daripada 381 keluarga pagi tadi.
Menurut JPBN Sarawak, hanya sebuah PPS di Dewan Serbaguna Kampung Rimba Padi, Serian masih beroperasi.
Di Sabah pula, mangsa banjir yang dipindahkan di Kota Belud kekal 212 mangsa daripada 77 keluarga petang tadi, dengan 62 mangsa daripada 28 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan, manakala 150 mangsa daripada 49 keluarga di PPS Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.
Sementara itu, jumlah penduduk di pesisir pantai, terutama yang tinggal di rumah atas air dipindahkan akibat fenomena air pasang besar, bertambah kepada 1,151 mangsa daripada 241 keluarga petang tadi berbanding 937 mangsa daripada 207 keluarga pagi tadi.
Seramai 376 daripada 63 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Sandakan, 54 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di Kota Kinabalu, manakala 721 mangsa daripada 163 keluarga dipindahkan ke enam PPS di Pitas.