Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman, kata sumber SPRM. (X pic)
PETALING JAYA: Guru besar antara empat individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berkaitan pembekalan makan minum murid dan kontrak pembersihan sekolah di Terengganu bernilai lebih RM1.3 juta.
Empat suspek yang berusia antara 30-an hingga 50-an itu ditahan di Pejabat SPRM Terengganu kira-kira 11 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan.
Menurut sumber, guru besar bersama ketua pembantu tadbir dan dua pengurus syarikat itu ditahan kerana didakwa berkomplot membuat tuntutan palsu bagi pembekalan makan minum murid di asrama sebuah sekolah rendah membabitkan kontrak pembekalan itu.
Katanya, semua suspek dikatakan berkomplot mengemukakan tuntutan palsu bermula 2022 sehingga 2023 membabitkan tuntutan ke atas 100 murid sedangkan jumlah murid sebenar hanyalah 35 orang.
“SPRM Terengganu dalam operasi sama turut menjalankan siasatan terhadap tuntutan palsu membabitkan kontrak pembersihan berjumlah RM35,000 di sekolah sama.
“Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya, menurut Berita Harian.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid yang dihubungi mengesahkan penahanan semua suspek terbabit.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 selain tidak menolak kemungkinan terdapat lagi tangkapan susulan berkaitan siasatan ini.
Related Posts