Hantaran Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Twitter ditafsirkan mengenai penubuhan kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum lalu.
PETALING JAYA: Abdul Hadi Awang patut “move on” selepas tidak dapat menubuhkan kerajaan, kata penganalisis politik hari ini, selepas presiden PAS itu mengeluarkan kenyataan mengenai pengadil bola sepak yang memberikan masa tambahan untuk pasukan yang kalah walaupun permainan sudah tamat.
Dalam satu hantaran di Twitter, Hadi menggunakan anologi bola sepak mengatakan walaupun satu pasukan itu menang, pengadil tiba-tiba memberi masa tambahan bagi memberi peluang pasukan yang kalah untuk menang dengan apa cara sekalipun.
Hantaran itu yang dipetik dari kolum yang ditulis beliau di Harakah, ditafsir sebagai merujuk kepada penubuhan kerajaan perpaduan dan mencetuskan kecaman pengguna di Twitter.
Seorang pengguna Twitter yang berang berkata “Pasukan lain ada 82 kerusi dan kamu ada 73 kerusi. Bagaimana kamu yang menang?,”.
Dalam pilihan raya umum ke-15 pada 19 Nov lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) hanya memperoleh 73 kerusi.
Bagaimanapun, seorang pengguna berkata, komen Hadi itu mungkin mengenai pilihan raya negeri Pahang di mana PN memenangi 17 kerusi DUN berbanding PH (16) dan Barisan Nasional (8).
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dilantik sebagai menteri besar selepas PH dan BN bersetuju untuk membentuk kerajaan gabungan.
Penganalisis politik dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan berpendapat, Hadi merujuk kepada 10 Ahli Parlimen BN yang menarik balik sokongan kepada Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin selepas BN memutuskan untuk menjadi pembangkang.
BN kemudiannya membentuk kerajaan perpaduan dengan PH selepas dititahkan Yang di-Pertuan Agong.
Namun, ramai berpendapat komen Hadi itu merujuk kepada pembentukan kerajaan perpaduan oleh Pengerusi PH, Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong pada Khamis lalu.
Penganalisis sosiopolitik, Awang Azman Pawi berkata, Hadi dan sekutunya perlu “move on” dan tidak dilihat mempersoalkan “pengadil” yang ditafsirkan merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja.
“Sikap Hadi menunjukkan presiden PAS dan sekutunya laparkan kuasa dan mahu memegang jawatan penting dalam Jemaah Menteri.
“Tindakan Hadi hanya menyebabkan kemarahan rakyat, yang mahu bergerak kedepan dan memfokuskan isu ekonomi rakyat berbanding bercakap mengenai keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata, Hadi tidak sepatutnya mengeluarkan hantara itu kerana “keputusan sudah dibuat (melantik Anwar) oleh Yang di-Pertuan Agong,”.
“PN dan PAS patut menerima hakikat bahawa kerajaan diterajui PH mempunyai majoriti. Sekiranya masih tidak berpuas hati, beliau boleh menunggu hingga 19 Dis ini apabila usul percaya dibuat di Dewan Rakyat dan ini akan menyelesaikan sama sekali pertikaian tersebut,” katanya.
Hantaran Hadi di Twitter itu mendapat 1,500 komen setakat 10 malam tadi, lima jam selepas ia disiarkan.
“Tambahan masa antara peraturan ditetapkan oleh FIFA, tetapi adakah kamu bercakap mengenai bola sepak,” kata pengguna Twitter @anas4fifi.
“Saya harap kamu betul-betul bercakap mengenai bola sepak,” kata seorang lagi pengguna Twitter @hariridin.
Seorang lagi pengguna, @xennials2 pula membangkitkan persoalan: “Satu pasukan ada 82 kerusi dan pasukan kamu (Hadi) ada 73 kerusi. Bagaimana kamu boleh menang?,” soalnya.