Polis menyiasat Lim Kit Siang berhubung komen di blognya menyentuh bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri.
PETALING JAYA: Veteran DAP, Lim Kit Siang dipanggil untuk memberi keterangan pada Rabu ini susulan komen di blognya menyentuh bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan), Rusdi Mohd Isa berkata keterangan Lim akan diambil Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Katanya, Lim dipanggil kerana penulisannya menyentuh isu Perlembagaan berhubung pelantikan perdana menteri.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa prihatin terhadap isu sensitif dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian negara.
Terdahulu, Lim hari ini dilaporkan berkata, beliau dituduh membuat provokasi sedangkan Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang bukan Melayu menjadi perdana menteri.
“Tidak ada niat sebegini. Perlembagaan Malaysia ini bukanlah satu dokumen yang bersifat provokatif, sebaliknya ia perlu menjadi asas kepada perpaduan Malaysia,” katanya.
Dalam ucapan kepada pelajar Malaysia di United Kingdom bulan lalu, bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berharap Malaysia tidak perlu menunggu lama seperti Amerika Syarikat untuk mempunyai pemimpin daripada kalangan minoriti.
Lim merujuk bekas presiden AS, Barack Obama yang dipilih menerajui negara itu selepas 230 tahun mencapai kemerdekaan, tetapi beliau mengakui kemungkinan tiada bukan Melayu menjadi perdana menteri untuk tempoh 100 tahun akan datang.
Minggu lalu, Lim mengesahkan polis memanggilnya untuk disoal siasat berhubung ucapannya di UK.
Related Posts