Kerajaan benar kakitangan kedutaan asing solat Jumaat di masjid

Kerajaaan bersetuju membenarkan duta dan kakitangan kedutaan asing menunaikan solat Jumaat di masjid bermula 3 Julai ini.

PUTRAJAYA: Kerajan bersetuju membenarkan warga asing menyertai solat Jumaat bermula 3 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu bagaimanapun hanya membabitkan duta dan kakitangan kedutaan asing ke Malaysia.

“Mesyuarat khas Kabinet bersetuju untuk membenarkan duta serta kakitangan kedutaan warganegara asing yang beragama Islam untuk menunaikan solat Jumaat di masjid bermula Jumaat depan.

“Kerajaan juga membenarkan surau yang diuruskan oleh pejabat kedutaan yang beroperasi sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk melaksanakan solat Jumaat.

Kementerian Luar Negeri akan menghantar nota diplomatik kepada kedutaan yang terlibat berkenaan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ismail berkata, kerajaan bagaimanapun masih melarang warga asing beragama Islam lain untuk solat Jumaat di masjid.

“Bagi warganegara asing beragama Islam lain, kebenaran masih dalam pertimbangan dan keputusan akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” katanya.

Jumlah jemaah solat Jumaat kekal 1/3 kapasiti penuh masjid

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengikut langkah Singapura membenarkan solat Jumaat diadakan 2 sesi bagi memberi peluang kepada lebih ramai jemaah, Ismail berkata, setakat ini jumlahnya kekal mengikut 1/3 keluasan masjid.

“Setakat hari ini belum ada kebenaran itu lagi (2 sesi solat Jumaat), ia masih kekal dengan keputusan asal,” katanya.

Ismail turut menaklumkan, kerajaan membenarkan orang ramai solat di pekarangan masjid bagi menambah jumlah jemaah.

“Kita benar solat di pekarangn masjid dengan syarat ada penjarakan sosial. Jadi pihak masjid boleh tambah tempat solat di luar masjid dengan mengamalkan SOP yang sama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, kerajaan bersetuju membenarkan pusat tuisyen, sekolah pendidikan khas dan institusi pendidikan swasta beroperasi semula.

“Bagaimanapun, perincian berkenaan tarikh dan SOP akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya.

PBT boleh tutup premis jika peniaga langgar SOP

Mengulas tindakan segelintir peniaga pasar pagi dan pasar malam tidak memakai topeng ketika berniaga, Ismail berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) berhak mengambil tindakan, termasuk menarik kebenaran berniaga jika mereka melangar SOP ditetapkan.

“SOP berniaga adalah mesti pakai topeng. PBT mungkin boleh tarik kebenaran berniaga jika peniaga langgar SOP kerana kebenaran dikeluarkan PBT.

“Kalau ia (pakai topeng) termasuk dalam SOP, maka PBT ada kuasa mengambil tindakan,” katanya sambil berharap semua peniaga mematuhi SOP yang ditetapkan jika mahu terus berniaga.

Source link

Comments (0)
Add Comment