Kerajaan disaran tubuh DanaRumah bantu pemilik rumah

Pada 1999, kerajaan menubuhkan Danaharta, syarikat tujuan khas (SPV) untuk mengambil alih pinjaman tidak berbayar (NPL) daripada institusi kewangan di Malaysia.

Danaharta mengeluarkan bon dijamin kerajaan dan diberikan kepada institusi kewangan, termasuk suntikan modal oleh kerajaan. Ini membolehkan institusi kewangan yang nazak bernafas semula dan diselamatkan daripada kerugian besar lantaran NPL yang tinggi.

Secara ringkasnya, kerajaan menyediakan kemudahan kewangan kepada institusi kewangan bagi mengelakkan mereka berdepan masalah dan memberi ruang untuk institusi kewangan memperbaiki kewangan mereka.

Melihat situasi semasa kesan daripada penularan Covid-19, kami berpandangan kerajaan wajib menubuhkan sebuah SPV bagi membantu rakyat marhaen.

Dengan jangkaan begitu ramai yang telah, sedang dan akan hilang pekerjaan serta sumber pendapatan, sudah pasti ramai yang bakal berdepan kesusahan membayar ansuran pinjaman perumahan mereka.

Oleh itu, kerajaan disaran mewujudkan program yang boleh dinamakan DanaRumah dan bersifat pembiayaan terbalik (reverse mortgage). Antara objektif dan peranannya:

1. DanaRumah akan membuat bayaran bulanan bagi mereka yang tidak mampu membayar ansuran pinjaman perumahan kepada bank (dengan potongan diskaun daripada bank), dalam tempoh maksimum 4 tahun (jangkaan konservatif untuk ekonomi pulih sekitar 3 tahun).

2. Apabila pemilik rumah mempunyai pendapatan stabil, mereka akan membuat pembayaran seperti biasa kepada bank. Pada masa sama, pemilik juga perlu membayar ansuran kepada DanaRumah (dibahagikan kepada maksimum 10 tahun dengan kadar keuntungan/faedah rendah).

3. Jika pemilik berhasrat menjual rumah yang dibiayai DanaRumah, ia akan mendapat bahagian daripada ekuiti dijual, tertakluk kepada jumlah pembiayaan disediakan DanaRumah.

4. Pembiayaan ini terpakai hanya untuk sebuah rumah (rumah pertama). Rumah ini mesti bernilai RM450,000 dan ke bawah di Lembah Klang, RM300,000 dan ke bawah di bandar utama dan RM200,000 dan ke bawah di kawasan luar bandar.

5. Sekiranya ada pemilik rumah di luar kategori (contohnya nilai rumah RM500,000) tetapi ingin turut serta dalam program ini, pemilik harus bersetuju menurunkan nilai rumah ke ambang ditetapkan atau membenarkan DanaRumah mengambil bahagian dalam ekuiti secara pertambahan penyertaan (Increasing Musharakah – Reverse Musharakah Mutanaqisah). Ini membolehkan DanaRumah mendapat keuntungan jika berlaku penambahan nilai. Namun, tujuan asalnya haruslah untuk mengawal harga rumah.

Secara umumnya, program ini menyasarkan untuk membantu golongan B40 dan M40 yang mungkin berdepan masalah kewangan sementara.

Dengan adanya program ini, pemilik rumah akan bebas daripada tekanan yang rumah mereka mungkin dilelong pada harga rendah dan menambah beban hutang mereka.

Dengan kemungkinan harga rumah akan meningkat dalam beberapa tahun mendatang, risiko program ini agak rendah. Jika pemilik gagal membayar ansuran dalam 5 tahun, DanaRumah boleh membayar baki pinjaman kepada bank dan mengambil alih rumah tersebut.

Rumah itu dapat dijual pada nilai semasa yang memungkinkan pemilik asal mendapat sedikit keuntungan dan bebas daripada tekanan hutang.

Mohd Ariff Mohd Daud ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Source link

Comments (0)
Add Comment