Kuala Lumpur: Kerajaan meluluskan permohonan berjumlah RM12.76 bilion bagi Program Subsidi Upah Fasa Pertama (PSU 1.0) setakat 29 Januari lalu.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja menerima manfaat PSU di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
“Di bawah Kita Prihatin, bagi Program Subsidi Upah Fasa Dua (PSU 2.0), sejumlah RM741.16 juta disalurkan kepada 64,345 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 518,793 pekerja.
“Dalam Belanjawan 2021, PSU bersasar juga diperkenalkan bagi membantu sektor pelancongan dan peruncitan manakala semua sektor yang terkesan oleh pelaksanaan PKP tahun ini layak untuk menerima sokongan PSU 3.0 di bawah Pakej Bantuan Permai,” katanya dalam pembentangan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-40 pelaksanaan Prihatin, Penjana, Kita Prihatin dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), semalam.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan melalui Majlis Pekerjaan Negara melaporkan lebih daripada 160,000 pekerjaan baharu bakal diwujudkan bagi tahun ini melalui pelaburan komited.
Katanya, melalui mesyuarat kali kedua yang diadakan pada 9 Februari lalu, kerajaan akan terus berusaha menjana pertumbuhan ekonomi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tahun ini.
“Kerajaan mengambil maklum kadar pengangguran pada Disember tahun lalu pada tahap 4.8 peratus, sama seperti pada November tahun lalu.
“Bagaimanapun, yang lebih penting adalah usaha kerajaan dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan 500,000 peluang pekerjaan pada tahun ini, walaupun dalam persekitaran yang amat mencabar.
“Malah, tambahan petugas kesihatan juga boleh dilihat sebagai satu inisiatif kerajaan bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam kategori pekerjaan kritikal.
“Diharapkan dengan usaha bersama semua pihak yang terbabit, kadar pengangguran 4.8 peratus yang dicatatkan pada hujung Disember tahun lalu dapat kita kurangkan pada bulan akan datang terutama dengan adanya usaha berterusan kerajaan ke arah ini seperti portal MyFutureJobs dan platform e-LATiH kendalian Kementerian Sumber Manusia,” katanya.