Kerajaan tak tahu mengenai cadangan kereta api Trans Borneo, kata Loke

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata proses tender untuk kajian kebolehlaksanaan projek seperti yang diminta Sarawak hanya bermula Mei ini.(Gambar Bernama)

SEPANG: Putrajaya tidak tahu menahu mengenai cadangan sebuah syarikat membina rangkaian kereta api laju menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei, dan Kalimantan di Indonesia, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Loke berkata projek seperti itu mesti mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada kerajaan malah tender untuk kajian kebolehlaksanaan projek itu hanya dibuka pada Mei ini.

Katanya, kajian kebolehlaksanaan itu akan mengambil masa sembilan bulan untuk dilengkapkan.

“Kalau mereka nak bina landasan kereta api di Sabah dan Sarawak, sudah semestinya mereka perlu mendapatkan kelulusan kerajaan Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Setakat ini tiada apa-apa kelulusan dan kita (kerajaan) tidak pernah berbincang dengan syarikat ini,” katanya kepada wartawan selepas satu program di KLIA Terminal 2.

Loke juga berkata sebarang pengumuman mengenai projek mega mesti dibuat oleh kerajaan bukannya syarikat swasta.

Brunergy Utama Sdn Bhd baru-baru ini yang berpangkalan di Brunei dilaporkan akan membina rangkaian kereta api laju di Borneo yang bertujuan memendekkan tempoh perjalanan antara Brunei, Sarawak, Kalimantan dan Sabah.

Kata syarikat itu, projek bernilai USD70 bilion (RM330 bilion) itu merangkumi dua fasa, membabitkan laluan sepanjang 1,600km menggunakan kereta api dengan kelajuan maksimum 350km/j.

Mengulas lamporan berkenaan, Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata kerajaan negeri tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai projek tersebut.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata projek itu akan meningkatkan hubungan penduduk dan ekonomi di wilayah itu.

Cadangan rangkaian sistem kereta api yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Indonesia bukanlah perkara baru. Ia pernah dicadangkan oleh Sarawak sebelum ini.

Pada Oktober lalu. Loke berkata Putrajaya akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek susulan permintaan daripada Sarawak.

Source link

bruneikelajuan-tinggikereta-apikereta-api-trans-borneolandasanLoke Siew Fooksabahsarawak-2
Comments (0)
Add Comment