Kerajaan wajar kaji semula cukai vape, rokok elektronik

Kuala Lumpur: Harm Awareness Association (HRA) meminta kerajaan mengkaji semula cukai ke atas vape, peranti rokok elektronik dan cecair vape.

Ia susulan cukai berkenaan dibentangkan dalam Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu.

HRA berpendapat, duti eksais 10 peratus ke atas semua jenis peranti elektronik, serta 40 sen setiap mililiter untuk cecair yang digunakan dalam rokok elektronik akan menjadikannya jauh lebih mahal.

Ini adalah tamparan hebat buat pengguna dan pengusaha industri vape tempatan ketika situasi ekonomi yang terjejas teruk ekoran penularan wabak Covid-19.

Sebarang kenaikan harga peranti dan produk vape yang dijadikan alternatif kepada tabiat merokok kemungkinan besar akan mendorong pengguna produk vape untuk kembali kepada tabiat merokok.

Oleh kerana pengguna vape kebanyakan sensitif kepada harga, mereka akan lebih cenderung untuk membeli rokok kontraban (seludup) yang lebih murah.

Sehingga hari ini, seramai lebih daripada 10,000 rakyat Malaysia menandatangani petisyen menolak cukai ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk cecair vape pada tahun depan.

Presiden MOVE dibawah program HRA, Samsul Kamal Arrifin berkata: “Kami, tidak bersetuju dengan usul berkenaan setelah mengkaji dengan lebih terperinci mengenai cadangan kerajaan tersebut, juga berbincang dengan industri dan mengumpulkan input orang ramai melalui petisyen.

“Walaupun kami sudah mengatakan sebelum ini bahawa cukai yang dicadangkan ke atas cecair vape mengelirukan, kami juga percaya bahawa cukai yang dicadangkan pada peranti adalah langkah yang tidak produktif yang akan menyebabkan kesan buruk dalam kesihatan awam kerana ia menghalang perokok dewasa daripada beralih kepada alternatif yang kurang berbahaya.”

Katanya, pihaknya menyedari bahawa terdapat keperluan untuk kerajaan menjana lebih banyak hasil, tetapi ia tidak sepatutnya dilakukan tanpa membuat kajian serta perbincangan dengan semua pihak.

“Tindakan drastik kerajaan akan melumpuhkan industri vape dan ramai pengusaha yang akan gulung tikar jika cukai ini dilaksanakan pada tahun 2021.

“Pengenaan cukai perlu datang bersama-sama dengan peraturan yang menyeluruh dan input dari pelbagai pihak termasuk industri untuk membendung perdagangan haram dan memastikan keselamatan semua pengguna Malaysia.”

HRA sudah memulakan petisyen melalui Change.org dengan sokongan seramai lebih daripada 10,000 orang, agar kerajaan mempertimbangkan semula pengenaan cukai pada peranti dan cecair vape di Malaysia.

Source link

vape
Comments (0)
Add Comment