Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata semua pelancong yang tiba di sini akan diimbas suhu untuk demam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Semua pelancong yang tiba di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan suhu untuk demam, kata Kementerian Kesihatan.
Pengumuman itu dibuat susulan berlaku kebimbangan mengenai lonjakan kes Covid-19 di China.
“Mereka yang didapati demam, bergejala atau mengisytiharkan diri (untuk simptom Covid-19) akan dirujuk ke pusat kuarantin, atau kepada pihak berkuasa kesihatan untuk pemeriksaan lanjut,” kata Menterinya Dr Zaliha Mustafa.
Pada masa sama, mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari selepas ketibaan, akan dikehendaki menjalani ujian RTK-Antigen, dan sampel akan dihantar untuk ujian genom jika positif Covid-19, katanya.
Ini juga terpakai kepada mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan individu yang pergi ke China dalam tempoh 14 hari, atau menunjukkan penyakit seperti influenza (ILI) atau jangkitan pernafasan akut teruk (SARI).
Zaliha berkata langkah itu adalah sebahagian daripada peningkatan pengawasan Malaysia untuk Covid-19 dalam komuniti, dan pemantauan untuk varian baharu.
“Bagi tujuan ini, sampel ILI akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan manakala sampel SARI akan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR),” katanya.
Kementerian juga akan menjalankan ujian PCR ke atas sampel kumbahan dari pesawat yang datang dari China, yang akan dihantar untuk penjujukan genom jika didapati positif.
Semalam, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata Malaysia akan menyaksikan lonjakan permintaan penerbangan berikutan pembukaan semula sempadan China pada 8 Jan, tiga tahun selepas permulaan wabak itu.
Pada 1 Mei, Malaysia memansuhkan ujian mandatori ke atas semua pengembara yang masuk dan telah menerima vaksin. Pemakaian topeng di kawasan tertutup adalah pilihan, kecuali dalam pengangkutan awam dan di kemudahan kesihatan, manakala langkah penjarakan sosial tidak lagi terpakai.