Pada Oktober 2022, kesemua 13 tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret kerana dengan niat bersama menahan Omar ZM Albelbaisy Raeda, 31. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan 12 lelaki dan seorang wanita untuk dilepaskan dengan jaminan berhubung tuduhan menculik seorang lelaki Palestin.
Hakim Siti Aminah Ghazali mengarahkan mereka direman sehingga perbicaraan selesai dan menetapkan 28 Feb untuk sebutan semula kes.
Tertuduh terdiri daripada Edy Ko’im Said, 42; Mohamad Norakmal Hassan, 43; Dody Junaidi, 44; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41; Mohamad Naziree Mustapha, 41; Faizull Hardey Mohd Isa, 42; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27; Mohamad Sufian Saly, 25; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 23; Nidarahayu Zainal, 36; dan Raibafie Amdan, 41; Mohd Zaidi Mohd Zain, 56; dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51.
Pada Oktober 2022, mereka didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan secara niat bersama menahan Omar ZM Albelbaisy Raeda, 31, untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini, pada 10.40 malam, 28 Sept 2022, mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dengan sebatan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh dan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana kes culik bawah bidang kuasa mahkamah berkenaan.
Bagaimanapun, semasa prosiding kes di Mahkamah Tinggi, pihak pembelaan memohon supaya kes itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen dan permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 6 Dis lepas.
Tuduhan dibacakan semula di Mahkamah Sesyen pada 19 Jan lepas dan kesemua mereka yang mengaku tidak bersalah memohon untuk dilepaskan dengan jaminan.
Kes itu dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Kalmizah Salleh manakala peguam Kelvin Sidhu mewakili Edy Ko’im, sementara Mohamad Norakmal, Dody, Tengku Arif Bongsu, Mohamad Naziree, Faizull Hardey, Muhammad Iqmal, Mohamad Sufian, Mohd Zaidi dan Tengku Hazarul Ismail diwakili peguam Norma Go.
Nidarahayu pula diwakili peguam Muhammad Amin Abdullah dan Raibafie diwakili peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan.
Related Posts