Kes palsu dokumen, mahkamah tangguh keputusan rayuan akhir Peter Anthony

 
Peter Anthony didapati bersalah memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS dan dijatuhi hukuman penjara 3 tahun serta denda RM50,000 pada 2022. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan bekas menteri pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman kesalahan memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Nicholas Kow Eng Chuan dan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.
“Kita akan menetapkan tarikh lain untuk keputusan,” kata Ahmad Zaidi yang bersidang bersama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Azmi Ariffin.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Ogos ini untuk pengurusan kes.
Ini rayuan terakhir Peter selepas Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lepas menolak rayuannya mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 26 Mei 2022. Bagaimanapun, Adun Melalap itu telah membayar denda.
Peter, sebagai pengarah urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
Terdahulu, Kow berhujah, tuduhan terhadap anak guamnya adalah cacat atas alasan tiada tandatangan pendakwa raya di kertas tuduhan yang dibacakan kepada Peter ketika didakwa.
Menurutnya, kertas tuduhan perlu ditandatangani oleh pendakwa raya selaras dengan peruntukan Seksyen 172 Kanun Tatacara Jenayah.
“Pendakwaan menghujahkan bahawa peruntukan itu hanya terpakai untuk kes di Mahkamah Tinggi sahaja, sebaliknya kes Peter dibicarakan di Mahkamah Sesyen.
“Namun kami berhujah bahawa pelaksanaan undang-undang mesti sama kerana peruntukan ini mesti diguna pakai di mahkamah rendah,” kata peguam itu.
Wan Shaharuddin pula berkata, ketiadaan tandatangan pada kertas tuduhan tidak membawa kepada salah laksana keadilan.
Katanya, tuduhan yang dikemukakan sama ada asal atau dipinda telah dibaca dan diterangkan kepada Peter.
“Perayu juga memahami tuduhan yang dibacakan kepadanya, maka ketiadaan tandatangan pada kertas pertuduhan hanyalah satu ketinggalan yang tidak boleh dianggap sebagai salah laksana keadilan,” katanya.

Source link

Adun Melalaphukuman. sabitanMahkamah RayuanMahkamah Sesyen.palsu dokumenPeter Anthonytuduhan cacatums
Comments (0)
Add Comment