Kluster Teratai pekerja Top Glove catat peningkatan mendadak Covid-19

Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja lelaki dan wanita syarikat itu di Klang bermula 17 November lalu.

PUTRAJAYA: Kluster Teratai membabitkan pekerja kilang di Meru, Klang, mencatatkan peningkatan jangkitan Covid-19 tertinggi iaitu 1,067 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu menunjukkan peningkatan mendadak sejak akhir-akhir ini.

Katanya, sehingga hari ini sebanyak 2,524 kes positif Covid-19 dilaporkan daripada keseluruhan 5,767 kes disaring dalam kluster membabitkan Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, sebanyak 1,330 sampel adalah negatif dan 1,913 masih menunggu keputusan.

“Kes dalam kluster ini terdiri daripada 164 warganegara dan 2,360 bukan warganegara berusia antara dua hingga 68 tahun,” katanya pada sidang media hari ini.

Noor Hisham berkata, pihak pengurusan kilang sudah mengambil inisiatif mengasingkan pekerja dikenal pasti sebagai kontak rapat di tempat kuarantin tertentu.

Beliau berkata, walaupun kluster itu mencatatkan jumlah kes positif tinggi tiada individu memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes kematian dilaporkan setakat ini.

Katanya, daripada 2,524 yang positif bagi kluster itu, 12 daripadanya bukan dari kawasan kilang terbabit berkemungkinan melalui kontrak rapat.

Sementara itu, Noor Hisham berkata penutupan 28 kilang milik Top Glove di sekitar Klang secara berperingkat diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini bagi membolehkan saringan dilakukan kepada 13,000 pekerja secara keseluruhan.

“Apa yang penting kita harap dapat saring terus 13,000 pekerja dan asingkan kes positif dan kuarantin kes yang terdedah dengan kontak rapat,” katanya.

Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja lelaki dan wanita syarikat itu di Klang bermula 17 November lalu.

Source link

Comments (0)
Add Comment