Avlyania Moidi, 28, mengakui perasaannya bercampur-aduk menyertai misi ke Myanmar, termasuk takut, namun katanya, anggota HADR ‘sudah dilatih untuk mengatasi semua itu’.
PETALING JAYA: Sebagai seorang ibu, semestinya timbul rasa sebak dalam hati Avlyania Moidi, 28, kerana tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama anaknya yang berusia dua tahun, namun beliau sanggup berkorban demi membantu mangsa gempa bumi di Myanmar.
Ketika ditemui di Pangkalan Tentera Udara Subang hari ini, anak kelahiran Tuaran itu berkata, misi ini merupakan yang pertama baginya selepas empat tahun berkhidmat dalam Pasukan Bantuan Kemanusiaan dan Pertolongan Bencana (HADR).
“Untuk seseorang bergelar ibu, pasti akan rasa berat hati tinggal keluarga, namun perlu ‘hadam’ benda itu kerana tanggungjawab (mesti) digalas,” katanya kepada FMT.
Sebagai satu-satunya wanita dalam pasukan HADR yang berlepas ke Myanmar hari ini, Avlyania yakin latihan serta pengalamannya sepanjang lima tahun sebagai anggota bomba sebelum ini mampu menyumbang kepada misi membantu mangsa gempa bumi itu.
Mengakui perasaannya bercampur-aduk, termasuk takut, beliau berkata, anggota pasukan itu ‘sudah dilatih untuk mengatasi semua itu’.
Akri Saidi, 38, berkata walaupun keluarganya semestinya terkesan tidak dapat beraya dengannya, semangatnya untuk membantu mangsa gempa bumi di Myanmar masih membara.
Sementara itu, seorang lagi anggota pasukan HADR, Akri Saidi, 38, terpaksa membatalkan rancangan pulang beraya di Batu Kurau, Perak, malam esok selepas terpilih menyertai misi ke Myanmar
“Keluarga mesti rasa terkesan tetapi semangat pasukan untuk pergi (Myanmar) masih membara,” kata bapa anak tiga itu.
Akri yang mempunyai lebih 10 tahun pengalaman sebagai anggota pasukan HADR juga pernah menyertai misi membantu mangsa gempa bumi di Turki pada 2023.
“(Saya) yakin pengalaman misi di Turki selama 22 hari sebelum ini boleh dibawa ke (misi) Myanmar nanti,” katanya.
Awal hari ini dilaporkan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata, 50 anggota HADR yang berlepas ke Myanmar dijangka berada di negara dilanda gempa bumi itu antara tujuh hingga 14 hari, bergantung kepada keperluan di lokasi kejadian.
Pada Jumaat, gempa bumi kuat dengan magnitud 7.7 melanda Myanmar pada kedalaman 10km, yang turut dirasakan di Thailand, disusuli gempa susulan dengan magnitud 6.4 beberapa minit kemudian.
Susulan kejadian itu, darurat diisytiharkan di wilayah Sagaing, Mandalay, Magway, Bago, Negeri Shan Timur dan ibu negara Myanmar, Naypyidaw, serta Bangkok di Thailand.
Gempa bumi itu dilaporkan mengorbankan dan mencederakan ribuan orang di Myanmar dan Thailand, dengan ratusan masih hilang.
Source link