Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim berkata, langkah itu adalah untuk mewujudkan lebih ketelusan dan akauntabiliti dalam urusan perolehan kerajaan.
PETALING JAYA: Kos perjalanan penjawat awam ke luar negara berkaitan sebarang perolehan tidak lagi boleh ditanggung oleh mana-mana syarikat swasta, menurut Perbendaharaan.
Kos tersebut mesti ditentukan lebih awal dan dinyatakan dengan jelas di dalam tawaran serta kontrak dengan pemegang tender.
Menurut pekeliling yang dikeluarkan minggu lepas, pihak Perbendaharaan juga menghentikan amalan menggunakan peruntukan tahunan bagi perbelanjaan operasi agensi berkenaan bagi tujuan tersebut.
Antara tugasan luar negara yang disenaraikan termasuk pemeriksaan sebelum penerimaan, ujian penilaian kilang, pemantauan projek, mesyuarat pelaporan eksekutif, ujian penerimaan akhir, dan latihan.
Tugasan tersebut mestilah untuk tujuan mengesahkan status pembuatan produk, pemantauan dan perbincangan isu-isu berkaitan projek atau produk tersebut antara agensi dan kontraktor, kata Perbendaharaan dalam pekeliling tersebut.
“Program tersebut hendaklah bagi kontrak yang sedang berkuat kuasa dan diperuntukkan di dalam klausa kontrak,” tambahnya.
Bagi perjalanan luar negara untuk latihan, pemindahan teknologi, kaedah atau cara penggunaan serta penyelenggaraan peralatan dan kelengkapan yang diperoleh bagi meningkatkan kemahiran pegawai, ia mesti dinyatakan dalam kontrak dengan segala butiran dan kos sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kontrak.
Ketika dihubungi, Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim berkata, langkah itu adalah untuk mewujudkan lebih ketelusan dan akauntabiliti dalam urusan perolehan kerajaan.
“Keperluan perjalanan untuk kerja-kerja pemeriksaan, antara lainnya, mesti ditetapkan terdahulu dalam kontrak dan kos yang disenaraikan,” katanya.
“Syarikat yang terlibat dalam kontrak tidak dibenarkan membiayai perjalanan sedemikian kerana hanya dengan cara itu, penilaian oleh wakil kerajaan boleh menjadi bebas.”