KSM-KDN setuju beku proses masuk pekerja asing subsektor pembersihan, pencucian

KSM umum 1,058 pekerja asing terabai berjaya mendapat penempatan pekerjaan dengan majikan baharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing ke-8 bersama Kementerian Dalam Negeri bersetuju membekukan proses kemasukan pekerja asing bagi subsektor pembersihan dan pencucian.
Keputusan dibuat susulan lebih daripada separuh pekerja asing terabai yang diselamatkan daripada sektor berkenaan, katanya dalam kenyataan.
Pengumuman itu menyusuli kejayaan penempatan pekerjaan 1,058 pekerja asing terabai dengan majikan baharu, setakat 9 Nov lepas.
Mereka dibantu KSM melalui operasi menyelamat pekerja terabai, dengan kerjasama imigresen dan polis.
“Bertindak atas makluman orang awam, Adun, dan juga kedutaan, KSM menjalankan operasi menyelamat pekerja ini dengan menubuhkan jawatankuasa menyelamat di bawah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung.
“Operasi menyelamat pekerja terabai dilakukan dan siasatan mendapati pekerja tersebut menganggur selama hampir tiga bulan tanpa sebarang sumber pendapatan,” katanya, lapor Bernama.
Selain penempatan pekerjaan dan majikan baharu, KSM turut mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang mengabaikan pekerja tersebut, di bawah Akta Kerja dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja.
“Langkah menyelamatkan mereka yang dikategorikan sebagai pekerja terabai ini merupakan keputusan yang tepat bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa pemerdagangan orang dan membawa kepada elemen buruh paksa seperti digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa,” katanya.
Di samping pembekuan proses kemasukan, permohonan kuota pengambilan pekerja asing yang diluluskan dalam semua sektor dan subsektor, termasuk sektor pembersihan dan pencucian, diarah disemak semula.
KSM berkata jabatan dan agensinya akan pergiat pelaksanaan operasi serta penguatkuasaan selaras perundangan di bawah bidang kuasanya.
“KSM yakin melalui peningkatan operasi dan penguatkuasaan berterusan akan dapat memastikan industri perburuhan negara bebas daripada isu pekerja terabai dan seterusnya menghapuskan sebarang kegiatan yang membawa kepada buruh paksa,” katanya.

Source link

Comments (0)
Add Comment