Kumpulan M’sia Timur rayu dana pembangunan kritikal untuk Sabah, Sarawak

Dana diperlukan untuk memasang sistem kuasa bebas bagi membekalkan elektrik ke banyak kawasan terpencil di Malaysia Timur yang tidak termasuk dalam grid kuasa, kata Annie Lasimbang. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA: Menjelang belanjawan persekutuan tahunan bakal dibentangkan minggu depan, kumpulan masyarakat sivil di Sabah dan Sarawak sekali lagi merayu Putrajaya memperuntukkan dana pembangunan kritikal untuk Malaysia Timur.
Anne Lasimbang berkata, gesaan itu yang berulang kali dibuat sejak bertahun-tahun lalu, mengetengahkan kekurangan serius infrastruktur di dua negeri Borneo berkenaan.
Anne Lasimbang.
Lasimbang, pengarah eksekutif Pacos Trust, NGO menyokong masyarakat pribumi di Sabah berkata, banyak kawasan luar bandar di Malaysia Timur memerlukan infrastruktur lebih baik bagi mengakses perkhidmatan perlu seperti perbankan, pendidikan dan kesihatan, selain meningkatkan pembangunan setempat.
Katanya, wujud keperluan mendesak untuk membina sistem luar grid bagi membekalkan kuasa kepada penduduk di kawasan terpencil Sabah serta Sarawak, yang tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik.
“Akses untuk kemudahan yang begitu asas amat bermakna untuk penduduk ini,” katanya kepada FMT.
Kawasan terpencil yang tiada akses grid elektrik utama perlu bergantung kepada sistem bebas untuk bekalan kuasa. Sistem berkenaan sama ada menggunakan generator, panel solar atau sistem kuasa mikrohidro.
Peruntukan asing untuk pembangunan
Sabah Action Body Advocating Rights (Sabar) berkata, belanjawan patut menyediakan peruntukan pembangunan untuk Sabah sebagai tambahan kepada geran kapitasi tahunan serta royalti minyak dan gas yang perlu diberikan kepada negeri itu.
Pengerusi Sabar, Zainie Abdul Aucasa berkata peruntukan itu patut dikhususkan bagi menyediakan utiliti dan infrastruktur seperti jalan raya.
Zainie Abdul Aucasa.
Menurutnya, kerajaan juga patut menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) ke Sabah dengan menyediakan insentif cukai bagi syarikat asing bertapak di negeri itu.
Katanya, ini akan mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik untuk penduduk setempat, yang lazimnya perlu berhijrah ke Semenanjung untuk mendapat pekerjaan. Ia turut akan merapatkan jurang pembangunan industri antara Sabah dan Semenanjung.
Lasimbang turut menggesa Putrajaya memperkenalkan inisiatif yang dapat menyokong keperluan sara hidup masyarakat luar bandar supaya belia tidak perlu berhijrah ke bandar besar mencari pekerjaan.
Pasukan petugas tanah NCR
Pengarah Lawyer Kamek for Change, Simon Siah menggesa pasukan petugas dibentuk bagi menangani isu berkait tanah hak adat Bumiputera (NCR) di Sarawak.
Simon Siah.
Siah berkata, ramai Orang Asal tidak mempunyai keterjaminan pegangan ke atas tanah di mana kediaman mereka dibina dan hidup dalam ketakutan berterusan akan dihalau.
Menurutnya, dana persekutuan perlu diperuntukkan bagi membentuk pasukan petugas khas yang diberi kuasa menyelesaikan isu pemilikan NCR.
Belanjawan persekutuan 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Okt ini oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan.

Source link

Belanjawan 2025Malaysia Timurpembangunansabahsarawak
Comments (0)
Add Comment