BALING: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mengenal pasti kawasan tanaman getah yang tidak ditoreh agar ia dapat diusahakan semula untuk meningkatkan hasil getah asli negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani berkata, inisiatif itu penting bagi memperkasakan semula industri getah negara, sekali gus mengurangkan import getah yang mencecah hampir RM6 bilion.
“Mengikut laporan Lembaga Getah Malaysia (LGM), terdapat 420,000 hektar kawasan tanaman getah yang sudah matang namun tidak ditoreh. Kita akan minta LGM lihat kawasan ini, kena toreh semula.
“Isu tidak ditoreh ini mungkin disebabkan tuan ladang dah tak larat nak menoreh … Kita akan cari tuan tanah dan berbincang untuk cari jalan bagaimana kita boleh usahakan semula ladang ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR).
Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Chan Foong Hin, Pengerusi LGM Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah LGM Zairossani Mohd Nor.
Terdahulu, Johari dalam ucapannya berkata, industri getah merupakan nadi pembangunan ekonomi negara sejak 100 tahun lepas, walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk penurunan hasil getah, kekurangan penoreh, persaingan daripada negara pengeluar lain serta kejatuhan nilai eksport.
“Nilai eksport industri getah negara bagi 2023 menunjukkan industri ini kekal menjadi penyumbang ekonomi yang penting dengan sumbangan pendapatan termasuk kayu getah sebanyak RM37.2 bilion.
“Pada 2023, destinasi utama pasaran eksport ialah China diikuti Kesatuan Eropah dan Emiriah Arab Bersatu,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, KPK bersama LGM komited untuk memastikan industri getah negara dapat memenuhi keperluan antarabangsa dalam aspek kemampanan.
Menurutnya, daripada 1.1 juta hektar keluasan tanaman getah di negara ini, sebanyak 93% diusahakan pekebun kecil, manakala 7% adalah estet.
Kira-kira 217,000 pekebun kecil terlibat dalam pengeluaran getah asli negara.
Source link