GEORGE TOWN: Bekas pemain bolasepak negara datang berpusu-pusu menziarahi pemain pertahanan lagenda Malaysia Namat Abdullah yang kini uzur di rumah inapnya di Balik Pulau Selasa lepas.
Lebih 30 bekas pemain negara, termasuk Dollah Salleh, Reduan Abdullah dan N Baskaran melalui hari indah sewaktu mereka mengimbau kenangan manis bersama.
Namat, yang berkerusi roda akibat strok kini bergelut dengan kanser usus, dihujani kasih dan hormat oleh rakan sepasukannya. Bekas ketua pasukan negara itu datang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di sini.
Laporan FMT mengenai keuzuran bekas pemain berusia 74 tahun ini menyebabkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengutus rakan lamanya untuk menziarahi Namat di rumah anak perempuan beliau di Taiping 2 minggu lepas.
Namat kelihatan bersemangat menyambut kedatangan pemain negara dari era 60-an dan 70-an.
“Ia motivasi besar buat saya untuk terus berjuang.”
“Saya berterima kasih kepada Tuanku atas keprihatinan dan sokongannya.
“Beliau adalah penyokong kuat bolasepak negara, termasuk bekas pemain dan saya mahu memberitahunya bahawa saya OK,” kata Namat kepada FMT.
Rakan di-Raja
Namat yang berasal dari Pulau Pinang dan “rakan baiknya” Sultran Abdullah saling mengenali sejak sekian lama. Mereka adalah rakan sepasukan pada kejohanan jemputan bekas pemain bolasepak di Pahang.
“Saya masih ingat bermain dengan Tengku Abdullah (panggilan namanya ketika itu). Beliau juga membawa kami ke beberapa negara di Asia Tenggara untuk perlawanan,” kata Namat.
“Beliau berjiwa besar.”
Apabila Arsenal tumbang
Namat, yang pernah mewakili negara 115 kali berkata, pemain bolasepak negara dari era 60-an ke 80-an berbeza dari segi kebolehan.
Beliau mengimbau kemenangan 2-0 ke atas kelab gergasi bolasepak Inggeris, iaitu Arsenal, dalam satu perlawanan persahabatan, sebagai detik yang tidak boleh dilupakan.
Almarhum Mokhtar Dahari menjaringkan kedua-dua gol negara pada malam itu.
“Kami berdepan pemain hebat seperti George Armstrong.
“Kami adalah pasukan pertama yang mengalahkan kelab Divisyen 1 Inggeris yang datang melawat,” katanya.
Pencapaian mereka mendapat pujian daripada mendiang pengurus Arsenal, Bertie Mee. Pasukan pimpinannya memenangi gelaran berganda sebagai juara liga dan Piala FA pada musim 70-71.
Ketika latihan bermakna menakluk bukit
Sebagai bekas jurulatih juga, Namat sangat memahami erti latihan keras.
Katanya, “pada waktu itu latihan bermakna berlari mendaki bukit dan merentas desa.
“Jurulatih bermain bersama-sama. Ada sentuhan peribadi.
“Sekarang mereka hanya berpeluk tubuh dan lihat dari luar padang,” keluhnya.
“Kita perlukan adunan pemain muda dan lama (sekarang). Patut ada seorang jurulatih sahaja.
“Saya nampak 2 jurulatih latih penjaga gol. Ini tak masuk akal.”
Dari warden penjara ke wira bolasepak
Namat mula bermain bolaepak ketika bersekolah rendah di SK Sungai Gelugor. Beliau kemudian mewakili Tentera Udara Diraja dan Kelab Sukan Marin.
Susulan itu beliau mewakili pasukan bawah 21 tahun Piala Burnley Pulau Pinang.
Namat pertama kali mewakili negara pada 1968 dalam Piala Merdeka yang menyaksikan Malaysia mengalahkan Burma 3-0 dalam perlawanan akhir.
Sebagai pegawai Penjara, Namat berkhidmat di Penjara Pulau Pinang (1965-1983), Pusat Latihan Pegawai Penjara di Taiping (1983-1997) dan terakhir di Penjara Sungai Petani sehingga bersara pada 2001.
“Pada waktu itu, selepas habis kerja pada pukul 4 petang, saya terus ke Stadium Bandaraya untuk berlatih. Begitulah kerjaya bolasepak saya terbentuk.”
Penghormatan terbesar
Mewakili negara merupakan penghormatan terbesar buat Namat.
“Lencana Malaysia di dada, ia adalah penghormatan terbesar buat diri saya.
“Malaysia melayakan diri ke Sukan Olimpik Munich 1972 adalah detik paling membanggakan.”
Source link