PETALING JAYA: Seorang lagi suspek ditahan dalam kes rogol bergilir-gilir seorang wanita berusia 27 tahun di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan, berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di Taman Melawati, Ampang semalam.
Katanya, suspek direman tujuh hari sehingga 14 Sept ini untuk disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
“Siasatan masih dijalankan untuk mengesan tiga lagi suspek masih bebas,” katanya menurut Sinar Harian.
Terdahulu, seorang penganggur yang juga abang ipar mangsa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu tuduhan bersubahat dalam kejadian rogol bergilir-gilir adik iparnya di sebuah rumah di Wangsa Maju pada 30 Ogos lalu.
Lelaki berusia 29 tahun itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di depan Hakim Izralizam Sanusi.
Suspek pertama itu ditahan di Wangsa Maju pada 11.30 malam Sabtu lalu dan siasatan awal mendapati dia “menjual” maruah adik iparnya untuk melunaskan hutang.
Wanita itu dirogol lima lelaki di rumahnya di Wangsa Maju kira-kira 3.30 pagi 30 Ogos lalu.