Fahmi Fadzil berkata siasatan sedang dijalankan, manakala Amirudin Shari berkata skim itu menggunakan data dari SPR yang boleh dibeli.
PETALING JAYA: Laman sesawang skim insuran percuma kerajaan Selangor tidak dapat diakses malam tadi selepas seorang menteri berkata satu siasatan dijalankan atas dakwaan menyalahguna data pengundi berdaftar Selangor untuk polisi Skim Insurans Am Selangor (Insan).
Beberapa laman sesawang pemeriksa melaporkan tidak boleh diakses.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang menjalankan siasatan berhubung aduan salah guna data peribadi untuk skim itu.
Menurut Berita Harian, Fahmi berkata jabatan itu mempunyai kuasa untuk menyiasat isu berkait data peribadi.
“Saya tidak boleh bercakap terlalu panjang mengenai perkara ini kerana saya difahamkan, pihak JPDP sedang melakukan siasatan lanjut,” kata Fahmi.
Sebelum ini terdapat aduan di media sosial bahawa nama mereka dan ahli keluarga didaftar dalam skim insurans itu tanpa kebenaran atau pengetahuan mereka.
Sementara itu, Setiausaha Parti Hijau Malaysia Abdul Razak Ismail menggesa penduduk Selangor memfailkan saman terhadap kerajaan negeri kerana menyalahguna data peribadi mereka.
Razak berkata, beliau terkejut apabila mendapati namanya dan isterinya dalam senarai pemegang polisi insurans itu ketika dia memeriksa di laman sesawang itu.
Pada Rabu lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menafikan dakwaan berlaku kebocoran dan salah guna data rakyat dalam melaksanakan skim itu.
“Apa yang berlaku, skim ini melaksanakan proses prapendaftaran dengan kita berhubungan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya supaya SPR boleh mengemukakan data. Data itu merupakan data awam yang boleh dibeli dan kita mendaftarkan mereka sebagai prapendaftaran,” katanya.
Insan mula beroperasi pada Oktober tahun lalu dan menyediakan perlindungan insuran untuk setiap penduduk Selangor sehingga RM10,000 jika berlaku kecacatan kekal atau kematian akibat kemalangan.
Related Posts