Lanjutan moratorium tak jejaskan CCRIS

BANK Negara Malaysia (BNM) memaklumkan bahawa lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar tidak akan menjejaskan laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam.

Malah bank pusat juga menyarankan pihak bank supaya mempermudah proses permohonan dan keperluan dokumentasi untuk peminjam.

“Menyedari keadaan yang luar biasa ini, fleksibiliti yang diberikan sepanjang tempoh ini tidak akan keluar dalam laporan CCRIS peminjam.

“Peminjam yang mempunyai pinjaman dengan lebih daripada satu bank tidak perlu bimbang kerana mereka boleh dibantu melalui khidmat pusat sehenti yang relevan untuk mendapatkan pakej bantuan pembayaran balik bersesuaian,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, bagi individu, peminjam boleh merujuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mereka akan dibantu melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil.

“BNM akan memantau kemajuan pelaksanaan inisiatif yang dijalankan oleh institusi perbankan bagi membantu peminjam yang masih menghadapi kesulitan kewangan sementara.

“BNM juga akan terus menumpukan usaha bagi memastikan sistem perbankan terus menjalankan fungsi perantaraannya dengan berkesan dalam menyokong pemulihan ekonomi,” katanya.

Source link

Comments (0)
Add Comment