KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia minggu depan memberi peluang besar untuk memperkukuhkan lagi hubungan erat kedua-dua negara sejak 50 tahun lepas, sekali gus membuka peluang bagi jalinan kerjasama baharu.
Penasihat utama di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Oh Ei Sun berkata, hubungan Malaysia-China berkembang daripada hubungan diplomatik kepada interaksi ekonomi meluas dalam perdagangan dan pelaburan.
“China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan Malaysia secara konsisten menjadi rakan dagang terbesar di Asia Tenggara. Asas kukuh ini menyediakan peluang terbaik untuk kerjasama lebih erat,” katanya kepada Bernama.
Li Qiang, yang memegang jawatan perdana menteri China pada Mac tahun lepas, dijadualkan melawat Malaysia dari 18 hingga 20 Jun ini.
Felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu berkata, lawatan Li Qiang menawarkan potensi untuk meningkatkan kerjasama, khususnya dalam rangka kerja Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), bagi memudahkan projek bersama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Contohnya, Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) menghubungkan Malaysia dan Singapura memerlukan pelaburan serta teknologi pembinaan yang boleh memberi manfaat bersama kedua-dua negara. Jika landasan kereta api itu dikaitkan dengan China, hubungan perdagangan akan dipertingkatkan,” kata presiden Persahabatan Malaysia-China Sabah (MCFAS) itu.
Dalam bidang teknologi, berdasarkan minat Malaysia untuk memanfaatkan bantuan China dalam memajukan keupayaan kecerdasan buatan (AI), Oh mencadangkan lebih banyak universiti China menubuhkan kampus cawangan di Malaysia.
“Saya mengajar di Universiti Malaya semester lepas dan ramai pelajar China di sana, jadi saya rasa tiba masanya lebih banyak universiti China membuka kampus cawangan mereka di sini dan kita dari pihak Malaysia juga harus membuka kampus cawangan universiti di China yang akan meningkatkan penglibatan pendidikan kita.”
Sementara itu, Profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Zaid Ahmad berkata pertemuan Li Qiang dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim merupakan platform bagi memperkukuh komitmen bersama terhadap prinsip diplomasi saling menghormati, khususnya Malaysia sebagai negara berdaulat.
Zaid juga sependapat dengan Oh bahawa lawatan itu mempunyai potensi signifikan dalam meningkatkan kerjasama pembangunan teknologi digital seperti AI yang boleh dipelajari Malaysia, selain pendidikan.
“Kunjungan ini tidak hanya dapat memperkukuh hubungan dua hala dalam sektor pendidikan dan teknologi digital, tetapi juga meningkatkan keupayaan Malaysia membangun dan menerap teknologi AI dalam negara.”
Geostrategis dan felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan berkata lawatan rasmi Li Qiang ke negara ini bukti untuk beliau memaktubkan hubungan diplomasi 50 tahun Malaysia-China di peringkat pemimpin dan pemimpin mahupun kerajaan dengan kerajaan.
Keakraban itu perlu dimanfaatkan Malaysia untuk meningkatkan kerjasama dengan China, khususnya menerusi BRI serta memuktamadkan segera Rundingan Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA) 3.0.
“Apa yang kita perlukan termasuk teknologi AI dan melalui (ACFTA 3.0) China dapat memberi pertolongannya dengan harga kompetitif atau lebih murah berbanding negara barat. Jadi, saya lihat signifikannya pada kita supaya mempunyai kefahaman komprehensif yang strategik antara Malaysia-China dalam hal ini.”
Malaysia dan China mula menjalin hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974 menerusi kenyataan bersama yang ditandatangani Perdana Menteri kedua, Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China, Chou En-Lai, ketika itu.
Source link