KUALA LUMPUR: Seramai 20,297 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di depot imigresen dihantar pulang sejak awal Januari hingga 23 Julai lalu, kata Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, seramai 5,613 rakyat Indonesia, Myanmar (3,990), Bangladesh (2,664) dan selebihnya rakyat dari beberapa negara dihantar pulang ke negara asal bagi membendung kebanjiran PATI.
Katanya, tindakan penguatkuasaan juga diambil secara berterusan bagi menyelesaikan isu itu, termasuk memperketatkan kawalan kemasukan rakyat asing melalui beberapa tahap kawalan dan saringan.
“Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen telah melaksanakan 4,400 operasi dan menahan 18,092 PATI sejak awal Januari hingga 23 Julai lepas,” katanya ketika menggulung perbahasan ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Hamzah berkata, pegawai imigresen juga diberi kuasa di pintu masuk untuk menyemak kesahihan dokumen perjalanan, pas atau permit, tujuan dan sejarah kemasukan sebelum menentukan tempoh rakyat asing itu boleh berada di Malaysia.
“Tapisan awal dan saringan keselamatan dibuat ke atas semua warga asing yang memasuki Malaysia menggunakan sistem pangkalan data berintegrasi dengan pelbagai agensi penguatkuasaan.
“Antaranya, semakan melalui senarai syak Imigresen, pengambilan data cap jari biometrik, butiran biodata serta dokumen perjalanan melalui ‘Stolen and Lost Travel Document System’ (SLTD) oleh Interpol dan pengambilan maklumat biometrik warga asing untuk kemasukan ke dalam negara bagi rekod Jabatan Imigresen.”