Lelaki mengamuk di plaza tol ada 17 rekod lampau, positif syabu

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki yang dikatakan bertindak agresif ketika bertengkar dengan petugas tol di Plaza Tol Batu 9.
KUALA LUMPUR: Tindakan agresif seorang pemandu lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat serta menendang dinding kaunter tol di Plaza Tol Batu 9 di sini, mengundang padah apabila dia ditahan polis petang semalam di sebuah kawasan taman perumahan di Hulu Langat.
Ketua Polis Kajang, Naazron Abd Yusof, berkata pihaknya mengesan satu video tular di Facebook pada 11.13 pagi semalam, memaparkan kejadian pertengkaran antara pengguna jalan raya dengan seorang jurutol di plaza tol berkenaan.
Beliau berkata video itu menunjukkan seorang lelaki keluar daripada kenderaan dan terus ke kaunter tol sambil memarahi serta menendang dinding kaunter tol sebelum beredar.
“Berikutan kejadian ini, IPD Kajang menjalankan siasatan dan mendapatkan keterangan daripada seorang wanita berusia 22 tahun, yang bekerja sebagai jurutol.
“Mangsa menyatakan suspek mengamuk memarahi mangsa dengan bahasa kesat serta menendang dinding kaunter tol, setelah ditegur kerana mengetuk tempat kad Touch n Go dengan kuat semasa menggunakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata hasil siasatan, pada 7 malam hari yang sama polis menahan suspek yang berumur 31 tahun bersama sebuah kereta jenis Perodua Alza berwarna hitam di sebuah kawasan taman perumahan di Hulu Langat.
“Hasil pemeriksaan ujian awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamin (syabu), serta turut mempunyai (17) rekod jenayah lampau. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
Beliau berkata suspek yang bekerja sebagai mekanik turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian boleh berhubung terus dengan balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes Insp Ahmad Rahmat Adnan, di talian 014-5156933 bagi membantu siasatan,” katanya.

Source link

DadahjurutolmekanikpolisTahan
Comments (0)
Add Comment