PETALING JAYA: Loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi susulan insiden pencemaran yang dikesan sejak tengah hari tadi.
Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, tahap pencemaran bau di muka sauk LRA Rantau Panjang pada tahap 4 TON (ukuran kadar bau) dan di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 pula berada pada tahap 3 TON.
“Berikutan itu, keempat-empat loji masih belum boleh operasi buat masa ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook Air Selangor hari ini.
Air Selangor berkata, setakat ini pihaknya menggerakkan 84 lori tangki air ke premis kritikal serta kawasan perumahan terjejas.
Katanya, bekalan air alternatif juga boleh diperoleh di 17 pusat khidmat setempat (PKS) yang disediakan bermula pada 8 malam ini untuk kemudahan pengguna.
“Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com,” katanya.
Terdahulu, pencemaran bau yang menyebabkan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas tengah hari tadi disyaki berpunca akibat perbuatan sabotaj.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata siasatan awal pihaknya mendapati pencemaran bau dipercayai cecair pelarut itu dikesan dari loji Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang.
Bagaimanapun, IWK dalam kenyataan hari ini menafikan pihaknya terlibat dalam pencemaran itu.
Henti tugas LRA Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang akibat pencemaran bau itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual mulai 6 petang tadi melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
Source link