Mahkamah tolak permohonan Syed Saddiq cabar henti peruntukan Parlimen Muar

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik balik sokongan terhadap kerajaan pada September 2023.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pengundi kawasannya untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar keputusan kerajaan menarik balik peruntukan persekutuan.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan bahawa permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman itu dibuat sudah melepasi tempoh ditetapkan.
Mahkamah berkata, sejak September 2023, Syed Saddiq disekat daripada mengakses laman web myKHAS, platform bagi Ahli Parlimen memohon peruntukan untuk projek komuniti di kawasan masing-masing.
Sekatan itu berlaku selepas beliau menarik balik sokongan terhadap kerajaan.
Pada akhir Mac tahun ini, beliau menghantar surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan sebagai ‘ultimatum’ berhubung perkara itu tetapi tidak menerima sebarang maklum balas.
“Saya menganggap pemohon (Syed Saddiq) menganggap keputusan (menarik balik peruntukan) dibuat selepas ketiadaan jawapan terhadap ‘ultimatum’ (surat) itu.
“Saya tidak fikir ini adalah tafsiran undang-undang yang betul. Tiada kewajipan undang-undang bagi responden (Anwar dan kerajaan) untuk menjawab ultimatum tersebut,” kata Wan Farid.
Hakim itu berkata, Syed Saddiq dan tiga pengundi seharusnya memohon kebenaran semakan kehakiman selewat-lewatnya Disember 2023, iaitu dalam tempoh tiga bulan selepas aksesnya ke MyKhas ‘disekat’.
“Andai saya tersilap mengenai lanjutan masa, saya akan menyentuh secara ringkas sama ada kebenaran patut diberikan.
“Peruntukan persekutuan kepada Ahli Parlimen adalah isu dasar kerajaan, dan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menelitinya,” katanya.
Wan Farid juga menegaskan bahawa tiada peruntukan statutori atau perlembagaan yang mewajibkan kerajaan menyediakan peruntukan kepada Ahli Parlimen, sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang.
Syed Saddiq dan tiga pengundi itu mahu mahkamah mengeluarkan perintah untuk membatalkan keputusan menyekat RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta yang sepatutnya disalurkan terus ke akaun pusat khidmat Parlimen beliau untuk program kebajikan, kesejahteraan komuniti, dan bantuan bencana.
Mereka juga meminta mahkamah mengembalikan semula akses Syed Saddiq terhadap sistem myKHAS, yang menguruskan permohonan peruntukan pembangunan RM2 juta untuk kawasan tersebut serta keputusan membatalkan beberapa projek secara kolektif berjumlah RM230,300, yang dipohon oleh pemohon pertama dan diluluskan dalam sistem myKHAS untuk peruntukan pembangunan RM2 juta.
Peguam Lim Wei Jiet mewakili Syed Saddiq dan tiga pengundi, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhaffiza Azizan mewakili kerajaan.

Source link

Mahkamah TinggimyKHASParlimen MuarperuntukanSemakan Kehakimansyed-saddiq
Comments (0)
Add Comment