KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, kegagalan pekerja menjaga penjarakan fizikal dan tempat tinggal yang sesak antara punca wujudnya 9 kluster Covid-19 membabitkan tapak pembinaan di Sabah.
Katanya, keadaan yang dilihat sebagai kecuaian majikan itu hanya merugikan mereka kerana tempat pembinaan terpaksa ditutup serta projek dilakukan akan mengalami kelewatan untuk disiapkan.
“Sebanyak 9 kluster di tapak pembinaan dikenal pasti di Sabah setakat ini iaitu membabitkan seramai 326 individu didapati positif Covid-19.
“Jumlah itu membabitkan seramai 98 warga asing termasuk seorang warga China, 17 warga Filipina dan 80 warga Indonesia manakala 12 lagi warga tempatan.
“Kegagalan majikan memastikan pekerja mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyebabkan tindakan terpaksa diambil iaitu dengan menutup tapak pembinaan sehingga pihak jabatan kesihatan berpuas hati majikan mengambil langkah yang perlu untuk keselamatan pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan Covid-19 di Sabah menerusi aplikasi Zoom hari ini.
Masidi berkata, pihak majikan perlu mengambil beberapa langkah bagi memastikan kluster di tapak pembinaan tidak berterusan wujud di Sabah.
“Antaranya majikan harus menyediakan kemudahan tempat tinggal pekerja yang sesuai dengan kemudahan penjagaan kebersihan diri dan tidak bersesak.
“Mereka (majikan) juga perlu menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap kakitangan sebelum diambil berkerja, menyediakan kemudahan pemeriksaan suhu dan melarang kakitangan yang mempunyai simptom hadir bekerja,” katanya.