Malaysia tetap komited sasar sediakan 10,000 pengecas EV menjelang hujung 2025 – TPM

Oktober tahun lalu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri menegaskan bahawa ia akan terus mengekalkan sasaran untuk menyiapkan 10,000 pengecas EV di Malaysia menjelang tahun 2025, selari dengan sasaran yang telahpun diumumkan pada 2021 dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB).

Menurut timbalan perdana menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam laporan Bernama, sasaran berkenaan masih lagi kekal dan kerajaan akan terus komited untuk mewujudkan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

“Sasaran kita adalah untuk memiliki kira-kira 10,000 stesen pengecas di seluruh Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak, menjelang akhir tahun ini,” katanya berucap pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Thailand semalam.

Berdasarkan laporan, papan pemuka Jaringan Pengecas Kenderaan Elektrik yang diwujudkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah merekodkan kewujudan sebanyak 3,611 ruang pengecas EV (EVCBs) di seluruh Malaysia sehingga 31 Disember 2024.

Fadillah turut mengakui bahawa buat masa sekarang terdapat permintaan yang tinggi terhadap pengecas DC yang lebih pantas berbanding AC. “Kami bekerjasama rapat dengan Petronas dan pihak industri lain untuk menangani isu ini. Kementerian kami memastikan kesalinghubungan pengecasan mencukupi, termasuk di lebuh raya, kawasan luar bandar dan seluruh Malaysia,” katanya.

Dalam pelan asal LCMB, dari 10,000 pengecas yang dirancang untuk dipasang, 9,000 unit daripadanya adalah pengecas AC, dan 1,000 unit selebihnya adalah pengecas DC. Namun kerajaan telah pun merombak semula rancangan itu dengan menetapkan pemasangan 8,500 pengecas AC bagi memberikan jumlah pengecas DC dipasang dengan lebih banyak iaitu 1,500 unit. Namun dalam laporan tahun lalu, sasaran tersebut dijangka hanya akan dapat dicapai pada 2026.

November lalu, Malaysia Zero Emission Vehicle Association (MyZEVA) berkata pihaknya menjangkakan sasaran 1,500 unit pengecas DC di seluruh negara akan dicapai pada pertengahan tahun ini, enam bulan lebih awal daripada tarikh akhir. Sasaran itu mungkin akan tercapai kerana pada 31 Disember tahun lalu MEVnet telahpun merekodkan 1,095 pengecas DC sudah dipasang di seluruh negara.

Manakala untuk pengecas AC, persatuan itu meramalkan bahawa 8.5k yang dimaksudkan dijangka akan tersedia menjelang suku ketiga 2026. Namun dengan hanya 2,516 unit EVCB yang telah direkod dipasang tahun lalu, serta secara purata hanya 150 unit dipasang setiap bulan, jumlah pengecas AC mungkin hanya mencecah 5,000 unit mejelang tempoh masa yang disasarkan tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.



Source link

Comments (0)
Add Comment