Masidi buat tuduhan dangkal PN promosi politik ekstremis Islam, kata Wan Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Bersatu dan PN ditubuhkan bukan untuk mencabul kehormatan hak bukan Islam menganut serta mengamalkan agama masing-masing.
PETALING JAYA: Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menepis dakwaan Perikatan Nasional (PN) mempromosi politik ekstremis Islam yang disifatkannya tuduhan dangkal.
Justeru, beliau meminta Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Masidi Manjun yang membuat dakwaan itu merujuk Fasal 6 perlembagaan Bersatu dan Fasal 5 perlembagaan PN.
“Jelas sekali tujuan Bersatu dan PN ditubuhkan, sama sekali tidak akan bertindak untuk mencabul kehormatan hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Masidi bahawa pemimpin Bersatu Sabah membuat “keputusan sebulat suara” meninggalkan Bersatu demi kepentingan Sabah dan kebaikan Malaysia.

Merujuk “peningkatan retorik kaum dan agama” melibatkan beberapa parti dari Semenanjung, terutama menjelang pilihan raya umum ke-15, Masidi berkata, ia tidak konsisten dengan nilai Sabah dan Sarawak yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.
Beliau menekankan bagaimana rakyat Sabah berbilang kaum dan agama hidup harmoni selama berabad dan mereka mahu terus melindungi warisan budaya serta sosial mereka daripada “dicemari nilai bukan dari Sabah”.
Terdahulu, Pengerusi GRS, Hajiji Noor yang juga ketua menteri Sabah mengumumkan beliau dan pemimpin Bersatu Sabah lain meninggalkan parti itu serta akan menubuhkan parti tempatan baharu.
Hajiji berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat berdasarkan status quo “tidak boleh dipertahankan lagi”.

Wan Fayhsal mendakwa keputusan itu dibuat Hajiji untuk kekal berkuasa di Sabah dan melupakan pengorbanan Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin serta pemimpin lain yang membantunya memenangi pilihan raya negeri.

Source link

Comments (0)
Add Comment