Azalina Othman Said berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang tiada masalah dan bersedia mengusulkan pindaan terhadap akta itu sepertimana dinyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar Facebook)
KLUANG: Jabatan Perdana Menteri sehingga kini masih menunggu mana-mana pihak termasuk sekretariat kerajaan perpaduan untuk mengemukakan cadangan bagi membolehkan akta antilompat parti dipinda bertujuan menambah baik akta berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata pihaknya juga tidak mengetahui yang sekretariat terbabit akan membincangkannya atau sebaliknya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata sebarang pindaan terhadap undang-undang berkenaan boleh dilakukan, namun harus memaklumkan kepada pihaknya.
“Banyak pemimpin mengakui akta itu ada kelonggaran, itu yang penting…tetapi pandangan saya secara peribadi, saya nakkan ada ‘recall bin’ kalau seorang Ahli Parlimen sudah mengangkat sumpah bila dia lompat parti.
“Tapi kalau parti hendak mendisiplinkan dia (wakil rakyat) perlu ada cara lain seperti memanggil pengundi untuk menentukan sama ada ahli itu kekal atau terkeluar,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham.
Tambah beliau, setiap parti perlu mainkan peranan untuk tentukan calon mereka itu berpegang kepada disiplin parti masing-masing.
“Tetapi dengan banyaknya pilihan raya yang berlaku, setiap parti perlu mainkan peranan untuk tentukan calon mereka itu berpegang kepada disiplin parti.
“Bagi Umno dan BN (Barisan Nasional) kami sudah sedia sebelum PRU15….kami sudah sedia,” katanya.
Terdahulu pada 15 Julai lepas, Azalina dilaporkan berkata pindaan kepada Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 atau akta antilompat parti perlu dibincang dengan teliti dan dipersetujui secara dwipartisan.
Beliau berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) tiada masalah dan bersedia mengusulkan pindaan terhadap akta itu sepertimana dinyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Source link