Kuala Lumpur: Malayan Banking Bhd (Maybank) menjangkakan kira-kira 1.7 juta transaksi angpau bernilai lebih RM60 juta akan dibuat oleh pelanggannya menerusi e-Angpao sempena Tahun Baharu Cina kali ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Datuk John Chong berkata, ketika negara masih menghadapi cabaran pandemik Covid-19, penyediaaan kemudahan e-Angpao itu memberikan cara yang selamat dan mudah untuk meneruskan adat ketika perayaan itu kepada pelanggan.
“Kami berharap kemudahan e-Angpao ini dapat mengembalikan suasana riang dan meriah perayaan untuk pelanggan kami dan merapatkan hubungan silaturahim antara ahli keluarga walaupun perlu berjauhan untuk menjaga keselamatan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Maybank menjelaskan, kempen e-Angpao 2020 menerima sambutan yang memberangsangkan apabila mencatatkan lonjakan transaksi kepada 840,000.
Ia menjangkakan kemudahan e-Angpao mencatatkan pertumbuhan pesat pada tahun ini memandangkan pelanggan semakin biasa dengan penghantaran e-Angpao terutama dalam keadaan norma baharu.
“Maybank menjangkakan penggunaan e-Angpao akan terus bertambah pada tempoh Tahun Baharu Cina ini dan menyasarkan peningkatan 100 peratus dari segi bilangan dan nilai transaksi e-Angpao.
“Ini memandangkan masyarakat Malaysia semakin celik digital selain susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang masih berkuat kuasa di hampir seluruh negara,” katanya.
Pelanggan boleh menghantar e-Angpao kepada ahli keluarga dan rakan-rakan menerusi ikon e-Angpao yang tersedia secara eksklusif dalam aplikasi baharu MAE by Maybank2u dari semalam sehingga 7 Mac ini.