PEMERKASAAN sektor pertanian antara tumpuan utama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menjelang pasca-Covid-19 dalam usaha menyeimbangkan peratusan sektor keusahawanan yang diceburi di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ketika ini, 86 peratus sektor keusahawanan terdiri daripada bidang perkhidmatan sementara selebihnya adalah pertanian, pembuatan, perlombongan dan lain-lain.
Katanya, jumlah itu perlu dilihat lebih serius khususnya dalam bidang pertanian ke arah usaha menambah hasil tani tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap produk import.
“Dalam hal ini, saya memfokuskan kepada usaha membawa belia dan graduan menyertai industri pertanian, (iaitu) pertanian moden berteknologi tinggi.
“Usaha ini dipelopori bersama Menteri Pengajian Tinggi serta Menteri Belia dan Sukan. Saya akan berbincang dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani supaya agenda ini dapat dijayakan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mengambil contoh seorang belia di Sarawak yang berjaya menjana pendapatan lebih RM1 juta setahun, katanya, ia secara tidak langsung menunjukkan prospek yang menarik untuk diterokai usahawan muda.
“Seorang graduan universiti berumur bawah 30 tahun di Sarawak, saya kira dia boleh gelarkan dirinya sebagai jutawan memandangkan dia kini memperoleh pendapatan lebih RM1 juta dalam masa hanya tiga tahun berkecimpung.
“Perusahaannya hanya tanam cili dan proses cili itu menjadi sos cili, dua jenis saja, sos cili biasa dan sos cili premium. Saya fikir jika dia perluaskan tanamannya, dia pasti akan lebih berjaya dan menyumbang kepada keperluan makanan negara,” katanya.
Terdahulu, beliau menyampaikan amanat kepada warga kerja Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam rangka lawatan kerja rasmi pertama sejak mengangkat sumpah dan menyandang jawatan menteri pada 10 Mac lalu.
Pada sidang media itu, beliau turut mengumumkan keputusan kerajaan menarik balik usaha penggabungan SKM dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) oleh menteri sebelum ini.
Jelasnya, keputusan itu dibuat berasaskan kepada hasrat memperkukuhkan peranan dan fungsi sedia ada kedua-dua organisasi termasuk dalam usaha menaik taraf IKM kepada status kolej universiti.
“Saya sudah berjumpa Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pada minggu kedua menjadi menteri dan meminta supaya pelan menggabungkan SKM dan IKM dibatalkan dan ditarik balik.
“Ini kerana hasrat saya membina institut yang lebih besar dan kajian secara teknikal serta dalaman birokrasinya sudah dilaksanakan Ketua Setiausaha Kementerian (Datuk Seri Mohammad Mentek) sejak itu kerana ini senarai utama kementerian,” katanya.