PUTRAJAYA: 828 individu ditangkap kerana pelbagai kesalahan berkait perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam, susulan langkah pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan ke atas pengerakan orang ramai bagi membendung penularan jangkitan wabak Covid-19 di seluruh negara.
Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tangkapan itu meningkat berbanding hari sebelumnya dan menunjukkan masih ramai yang ingkar peraturan PKP.
“Semalam polis menahan 828 individu di sekatan jalan raya dan dalam rondaan kerana melanggar PKP.
“Sebenarnya sasaran kita bukan nak tambah tangkapan. Sasaran kita mengurangkan tangkapan, tetapi kita lihat semakin banyak tangkapan setiap hari.
“Ini bermakna masih ramai tidak patuh. Sasaran kita ialah untuk kurangkan tangkapan untuk tunjukkan pematuhan rakyat mencapai matlamat secara keseluruhan,” katanya selepas mesyuarat harian Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama menteri-menteri dalam mendepani Covid-19 di Perdana Putra di sini, hari ini.
Sabtu lalu 649 individu ditangkap atas kesalahan sama.
Dalam perkembangan sama Ismail berkata, polis dan tentera mengadakan 1,520 sekatan jalan raya dan memeriksa lebih 257,287 kenderaan.
“Sekatan jalan raya di plaza tol di seluruh negara ditambah daripada 23 kepada 65 dan akan ditingkatkan kepada 114 plaza tol.
“Jumlah keseluruhan anggota yang bertugas dalam pelaksanaan PKP adalah seramai 67,774,”katanya.
PKP yang mula dikuat kuasa pada 18 Mac dilanjutkan sehingga 14 April depan dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Source link