Mitsubishi hari menampilkan buat pertama kali untuk peringkat global model terbaru generasi ke-enam trak pikap Triton 2024 di Bangkok, Thailand. Selepas sembilan tahun dengan model ketika ini berada dalam pasaran, akhirnya pengeluar Jepun berkenaan memperkenalkan sebuah model yang serba baru luar dan dalam, yang meletakkan Triton dalam tahapnya yang tersendiri, sekali lagi.
Dari segi penggayaan, Mitsubishi menggelarnya sebagai Beast Mode: Triton baru ini tampil lebih tegap, besar dan menonjol berbanding model lamanya. Ini dapat dilihat dari wajah depannya, yang walaupun masih kekal dengan sentuhan Dynamic Shield, ia lebih canggih dengan rekaan gril besar dan lampu LED untuk lampu utama dan juga DRL (yang jalurnya terletak atas sekali).
Dari sisi juga Triton nampak lebih maskulin dengan garis badan lurus di depan dan belakang badannya. Lengkung bahagian tayar juga tampil maskular dan bersegi, tiada lagi lengkung bulat seperti selalu. Lebih penting, Triton 2024 adalah trak pikap yang lebih besar — jarak antara roda misalnya diberikan pertambahan 130 mm berbanding yang lama. Ini sekaligus memberikan kelebihan keselesaan di dalam.
Untuk ruang kabin, ia terasa lebih premium dengan semua permukaan rekaan dan kelengkapan yang ada. Skrin besar di tengah memudahkan kendalian sistem infotainmen, begitu juga dengan suis kawalan pendingin di bawahnya, semua hadir dengan kejelasan dan mudah untuk dioperasi.
Dengan kabin lebih luas, Mitsubishi juga yakin yang trak pikap ini lebih selesa untuk penumpang, serta memberikan pemanduan dengan prestasi yang juga lebih mengujakan yang pernah ada untuk sebuah trak pikap. Selain itu, di dewan pelancarannya di Bangkok juga, Triton baru ini ditampilkan dalam versi atau aplikasi fungsi yang berbeza. Ada model standardnya, ada juga unit yang telah dimodifikasi untuk keperluan komersial dan ada juga yang untuk tujuan kosmetik yang ranggi. Tak ketinggalan, model versi sebenar untuk tujuan rali musim akan datang.
Untuk pasaran Malaysia, model ini dijangka akan diperkenalkan sebelum hujung tahun hadapan. Apa pandangan anda tentang model ini? Cukup banyak pembaharuan yang penting dan diperlukan?
Nak jual kereta anda? Jual dengan MyTukar.