KELEWATAN dalam kutipan kargo ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan caj yang terkumpul hingga menimbulkan beban kewangan kepada sektor perkapalan dan pengeluar tempatan, kata Pengerusi Majlis Perkapalan Kebangsaan Malaysia (MNSC) Datuk Dr Andy Seo Kian Haw.
“Sekali lagi, kami memohon campur tangan Kementerian Pengangkutan (MOT) kali ini membabitkan syarikat perkapalan dan kami berharap MOT akan meminta mereka mengecualikan atau memberi diskaun ke atas caj demuraj yang disebabkan oleh kelewatan dalam kutipan kargo ketika tempoh PKP,” katanya dalam satu kenyataan.
MNSC memuji campur tangan MOT sebelum ini berkenaan dengan pengecualian caj berkaitan pelaburan yang menyebabkan Pelabuhan Klang serta pihak berkuasa Pelabuhan Johor dan Sabah mengetepikan caj penyimpanan di pelabuhan semasa tempoh PKP ini dan membantu mengurangkan beban kerugian kewangan yang terpaksa ditanggung dalam tempoh yang sukar ini.
Menurut Seo lagi, campur tangan kerajaan penting bagi memastikan keupayaan serta kelangsungan operasi syarikat perkapalan dalam menghadapi pasca Covid-19 yang mana sudah menjejaskan ekonomi semua pihak.
Selain itu, syarikat perkapalan dunia sudah dikenakan surcaj bahan api rendah sulfur oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa yang berkuat kuasa mulai 1 Februari lalu pada kadar tetap sebanyak RM9 setiap metrik atau meter padu (m3) di atas surcaj bunker semasa.
“Kuantum ini sudah ditetapkan berdasarkan peningkatan bunker. Bagaimana pun sejak beberapa minggu lalu, harga bunker turun dengan ketara. MNSC berpendapat tidak perlu ada satu kadar tetap yang harus dipakai oleh semua pihak kerana ini melanggar undang-undang persaingan dan tidak menggalakkan persaingan dalam kalangan syarikat perkapalan,” katanya.
MNSC juga mengambil berat mengenai pembangunan prestasi eksport yang mana eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia sudah menyusut berturut-turut sepanjang suku ketiga sebanyak 7.1 peratus pada suku pertama tahun ini (suku keempat 2019:-3.4 peratus). – Bernama
Source link