Sebagai salah satu tindakan tegas yang diambil dalam usaha mengurangkan kemalangan maut melibatkan kenderaan berat terutamanya lori, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mendedahkan bahawa kementeriannya (MOT) telah menggantung lebih banyak lesen pengendali kenderaan berat pada 2024 berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Beliau menjawab soalan tersebut yang dikemukakan oleh Datuk Shamshulkahar bin Mohd Deli (Jempol) di Dewan Rakyat hari ini, dan mendedahkan sejumlah 247 lesen pengendali telah digantung pada tahun lalu berbanding 101 pada 2023 dan 94 (2022) manakala hanya lapan lesen pengendali digantung antara 2019 dan 2021.
Loke turut menyatakan bahawa sebanyak 23 Permit Kenderaan telah digantung menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada tahun 2024 atas ketidakpatuhan keselamatan jalan raya.
“Tempoh penggantungan boleh sampai 90 hari untuk ketidakpatuhan yang serius. Selain itu, MOT melalui APAD juga telah membatalkan tujuh Lesen Pengendali antara 2022 sehingga 2024 berbanding tiada pembatalan antara 2019 dan 2021.
“Apabila lesen pengendali sesebuah syarikat digantung atau dibatalkan, semua kenderaan yang berdaftar di bawah syarikat tersebut tidak boleh beroperasi,” katanya dalam laporan Astro Awani.
Beliau turut memberitahu antara syarikat yang Lesen Pengendalinya telah digantung termasuk sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan mempunyai lebih daripada 1,000 kenderaan, dan menambah seperti yang telah dilaporkan oleh media, syarikat tersebut terpaksa membuat pengumuman di Bursa Malaysia berkenaan tindakan penggantungan oleh APAD kerana terdapat implikasi serius ke atas operasinya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.