PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia Steven Sim sedia beri kerjasama penuh kepada polis susulan laporan dibuat Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (Nube) terhadap dirinya berhubung dakwaan salah guna kuasa.
Beliau berkata, setakat ini, pihak polis belum mengambil keterangannya dan beliau bersedia jika dipanggil polis.
Katanya, dakwaan tersebut tidak berasas, namun katanya mereka mempunyai hak untuk membuat laporan polis.
“Saya serahkan kepada pihak polis untuk buat siasatan dan saya tidak ingin berikan komen lanjut kerana isu tersebut sudah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan, jadi biar mahkamah yang tentukan dari segi keadilan,” katanya menurut Bernama di Bukit Mertajam.
Media melaporkan, lima cawangan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (Nube) membuat laporan polis terhadap Sim atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan mendakwanya secara rahsia berbincang dengan Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) tanpa pengetahuan Majlis Eksekutif Kebangsaan Nube berkait pembayaran bantuan perayaan untuk tahun ini.
Sementara itu, Sim berkata seramai 27.56% atau 127,295 individu bekerja sendiri mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) daripada sasaran 500,000 pencarum.
Beliau berkata, SKSPS diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu menjalankan pekerjaan sendiri dan mereka yang telah mendaftar mendapat pelbagai manfaat.
“Saya menyeru rakyat Malaysia yang bekerja sendiri tak kiralah penjaja, usahawan, dan sebagainya untuk mencarum skim ini, kerana tahun ini kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM100 juta iaitu geran padanan bagi skim tersebut.
“Menerusi peruntukan itu, kerajaan bagi subsidi sebanyak 90% dan mereka yang mendaftar hanya perlu membayar RM23 sahaja untuk setahun, tahun ini kami sasarkan 500,000 pencarum SKSPS dan pelbagai usaha dijalankan (Perkeso), memberikan pendedahan kepada orang ramai berhubung skim tersebut,” katanya.