PETALING JAYA: Seorang wanita cedera selepas ditumbuk dan diseret dalam cubaan menculik di Taman Lagenda Putra, Kulai pada Ahad lalu.
Ketua Polis Kulai Tan Seng Lee berkata suami mangsa berusia 47 tahun menyedari kejadian pada 9.30 malam itu selepas mendengar jeritan isterinya, 47.
Katanya wanita tempatan itu ditumbuk dan diseret empat lelaki tidak dikenali disyaki warga tempatan.
“Suspek turut cuba menarik mangsa masuk ke dalam sebuah kereta, namun tidak berjaya,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata mangsa mengalami luka di bibir, tangan dan kaki.
Katanya polis sedang mengenal pasti suspek dan menasihatkan pengguna media sosial tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menakutkan orang ramai.
Kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 dan 232 Kanun Keseksaan. Saksi yang mempunyai maklumat berkaitan diminta ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat R Arun 013-3332385 bagi membantu siasatan.
Source link