Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata beberapa selebriti dan artis berkenaan akan dipanggil minggu depan. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA: Beberapa selebriti dan artis yang menjadi duta menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki, berkata mereka akan dipanggil minggu depan untuk membantu siasatan.
Selebriti dan artis terbabit didakwa mendapat sejumlah wang itu bagi wajah mereka digunakan syarikat terkait.
“Daripada keterangan dan semakan kewangan yang diperoleh, selebriti-selebriti ini menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat.
“SPRM juga mengesan terdapat bayaran turut dibuat untuk tajaan konsert dan gubahan lagu khas bagi pihak sindiket itu,” katanya kepada Berita Harian.
Siasatan terhadap selebriti itu susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
SPRM mendedahkan RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket yang kononnya menawarkan bantuan kewangan, tetapi mengaut sekurang-kurangnya 35% daripada jumlah pinjaman diluluskan bank-bank pada satu masa.
Dalam operasi itu, 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM.
Source link