Optimis kekal prestasi kukuh | Harian Metro

UMW Holdings Berhad mengekalkan fokus memperkukuh segmen perniagaan teras serta kegiatan pengoptimuman kos untuk meningkatkan prestasi perniagaan serta produktiviti operasi.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, UMW Holdings Berhad, Azmin Che Yusoff berkata, dalam persekitaran perniagaan mencabar, kumpulan berusaha mengekalkan prestasi sepanjang tahun ini.

“Walaupun berdepan persekitaran perniagaan mencabar, kumpulan kekal optimistik mempertingkatkan permintaan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kami merancang melancarkan model kenderaan baharu dan menarik bagi mengurangkan kesan kelembapan pasaran.

“Segmen itu juga memperoleh manfaat daripada pengumuman mengenai pengecualian cukai jualan 100 peratus terhadap pembelian kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan pengecualian cukai jualan 50 peratus kepada kenderaan import sepenuhnya (CBU) mulai 15 Jun lalu sehingga 31 Disember depan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, walaupun segmen jentera berat kelihatan mencabar, permintaan memberangsangkan dalam sektor perlombongan dan pembinaan dalam operasi di luar negara dapat mengurangkan kesan terhadap segmen berkenaan.

“Segmen jentera perindustrian memperluas pakej pemulihan kepada pelanggannya yang terjejas akibat Covid-19 dan terus memberi tumpuan mengembangkan perniagaan penyewaan peralatannya.

“Persekitaran perniagaan kekal mencabar pada tahun ini akibat faktor rumit ini. Dengan polisi kerajaan dalam menyokong prestasi dalam keseluruhan sektor, kami yakin dapat menjana nilai kepada pemegang saham,” katanya.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac lalu, UMW mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM44.31 juta berbanding RM86.5 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Perolehan berkurangan kepada RM2.11 bilion berbanding RM2.77 bilion pada tempoh sama sebelumnya.

Pendapatan keseluruhan berkurangan disebabkan permintaan rendah dalam segmen automotif dan jentera akibat cabaran luaran yang ditimbul oleh penularan Covid-19.

Source link

Comments (0)
Add Comment