PETALING JAYA: Susulan laporan mendedahkan jurang gaji antara siswazah lelaki dan wanita, seorang pakar menggesa kerajaan menguatkuasakan undang-undang antidiskriminasi bagi menangani masalah itu.
Penasihat Ekonomi Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Yusof Saari, berkata undang-undang khusus berkaitan diskriminasi gaji dan peluang pekerjaan harus digubal serta dikuat kuasa dengan tegas.
“(Undang-undang ini) termasuk juga hukuman terhadap majikan yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, langkah itu wajar bagi menangani jurang kadar gaji purata bagi siswazah lelaki yang dilaporkan 15% lebih tinggi berbanding wanita sejak 2020.
Katanya, kementerian dan pihak terbabit perlu bertindak lebih strategik dengan membangunkan petunjuk prestasi utama (KPI) dan indikator khusus bagi menilai jurang gaji antara jantina, jika isu perbezaan gaji antara siswazah lelaki dan wanita menjadi agenda nasional.
“KPI dan indikator ini perlu dipantau secara berkala bagi memastikan dasar dan strategi yang lebih termaklum,” katanya.
Menurutnya, kerajaan juga boleh menggalakkan wanita terlibat dalam sektor pekerjaan menawarkan gaji tinggi melalui program pemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling), terutama bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Kapasiti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Nazreen Nizam, berkata terbukti masih ada stereotaip dan diskriminasi jantina dalam pengambilan kerja atau kenaikan pangkat, yang menurutnya mengecewakan.

“Ini juga kerana wanita sering kali terpaksa memikul tanggungjawab berganda di rumah, tanpa bantuan suami dan ini boleh mempengaruhi kerjaya mereka.
“Justeru, undang-undang kesaksamaan gaji perlu diperkenalkan di Malaysia, dan diperketat dengan mengenakan denda berat terhadap majikan yang melanggarnya,” katanya.
Beliau berkata, selain meningkatkan program kesedaran bagi mengubah persepsi dan stereotaip jantina di tempat kerja, sokongan juga perlu diberikan kepada wanita dalam pembangunan kerjaya melalui inisiatif seperti program mentor-mentee.
Sebelum ini, Statistik Siswazah 2023 dikeluarkan Jabatan Perangkaan melaporkan siswazah wanita secara purata mendapat gaji RM900 lebih rendah berbanding lelaki, walaupun memiliki kelayakan akademik setara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan kerajaan akan meneliti dasar berkaitan bagi menangani diskriminasi terhadap wanita.
Katanya, wanita sering menghadapi cabaran tambahan seperti tanggungjawab menjaga anak dan orang tua, namun perkara itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk memandang rendah mereka.