PETALING JAYA: Menyedari tertipu dengan kehidupan Islamik perjuangan Daesh menyebabkan rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan gerakan ekstrem itu membuat keputusan pulang ke tanah air.
Pakar Kajian Strategik dan Anti-Keganasan Universiti Malaysia Perlis Mizan Mohammad Aslam berkata, apa yang digambarkan ahli kumpulan itu sebelum ini di media sosial sehingga mempengaruhi mereka juga hanyalah fatamorgana.
“Tetapi sebenarnya kehidupan ‘Islamik’ Daesh adalah penipuan semata-mata. Malah, tekanan semakin kuat untuk mereka kembali pulang selepas menyesali perbuatan itu apabila kekalahan kubu terakhir Daesh pada Mac 2019.
“Mereka juga tidak mempunyai sumber pendapatan untuk menampung kehidupan kerana sebelum ini menerima gaji daripada kerajaan Daesh. Mereka mengalami kesusahan hidup yang teruk, menderita dengan kehidupan yang tiada serba-serbi termasuk air, elektrik dan sebagainya,” katanya kepada FMT mengulas keputusan rakyat Malaysia yang menyertai gerakan itu sudah mula kembali ke tanah air.
Mizan yang juga ahli panel pakar deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, kumpulan terbabit turut mengalami tekanan emosi sehingga ada yang mahu segera mati kerana menganggap diri tidak berguna selepas terjebak aktiviti keganasan itu.
“Mereka mengalami tekanan emosi yang teruk sehingga menyesali, menangis dan ada yang mahu segera mati. Maka mereka memohon untuk balik ke Malaysia dengan segera.
“Di sana juga, mereka gagal menempatkan anak-anak di sekolah yang mampu memberikan pendidikan terbaik buat waris mereka,” katanya.
Rakyat perlu terima kepulangan
Mizan berkata, rakyat juga perlu menerima kepulangan mereka ke tanah air, selepas menjalani proses tindakan undang-undang dan terbukti menyesali perbuatan mereka sertai berikrar tidak mahu mengulanginya.
“Kita setuju menerima kerana mereka adalah rakyat kita. Jika Eropah, bukan negara Islam pun menerima semula rakyat mereka, apatah lagi Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
“Kelompok ini mesti diberi peluang ke-2 untuk membina semula kehidupan di tanah tumpah darah mereka. Sokongan yang sistematik perlu diberikan oleh kerajaan untuk menyokong emosi dan sosio-ekonomi mereka,” katanya.
Beliau berkata, pemantauan perlu dilakukan bagi memastikan bekas rakan Daesh mereka tidak mempengaruhi untuk kembali menyertai gerakan itu.
“Mereka perlu dibantu dengan mental dan pendapatan untuk menjalani kehidupan baru. Pengisian kehidupan mereka adalah perlu supaya tidak diisi oleh rakan lama seperjuangan mereka. Malah, ajaran Islam yang melampau juga perlu dijauhi termasuk pemikiran ekstrem bawaan Salafi-Wahhabi-Takfiri.
“Mereka juga boleh dijadikan ejen deradikalisasi membantu kerajaan untuk program pemulihan,” katanya.
Katanya, usaha mengekang rakyat daripada terbabit sebarang bentuk kumpulan dan aktiviti terrorisme perlu berterusan.
“Berperang dengan ideologi terrorisme ini adalah peperangan yang lama dan berpanjangan,” katanya.
KDN sebelum ini memaklumkan seramai 16 rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan militan Daesh pulang ke tanah air.
Seramai 57 rakyat Malaysia yang menyertai Daesh masih berada di Iraq dan Syria, daripada jumlah itu 40 memohon untuk pulang.
“Yang sudah pulang 16, 12 dewasa, 4 kanak-kanak, 9 telah dijatuhkan hukuman di bawah Sosma dan 3 lagi di bawah Pota,” kata Mizan sambil memaklumkan anak-anak mereka diserahkan kepada ahli keluarga.