KUALA LUMPUR: Pemenang dua pingat Sukan Olimpik Pandelela Rinong terlepas peluang untuk layak ke acara 10m platform Sukan Olimpik Paris 2024, susulan persembahan hambar pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, hari ini.
Pandelela hanya menduduki tempat ke-29 dengan 231.15 mata, ketinggalan 204.05 mata di belakang juara dunia Chen Yuxi (435.20 mata).
Hanya 18 penerjun terbaik pusingan awal layak ke separuh akhir yang akan berlangsung esok dan kekal dalam persaingan untuk 12 tiket kelayakan ke Sukan Olimpik yang ditawarkan pada kejohanan itu.
Seramai 12 penerjun terbaik dari Kejohanan Dunia Fukuoka 2023 telah pun layak ke Paris, manakala satu lagi slot untuk juara benua masih belum ditentukan.
Seorang lagi wakil negara, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj turut terlepas kelayakan ke Paris selepas menduduki tempat ke-44 antara 46 peserta, hanya mengumpul 167.55 mata.
Pandelela, 30, yang menang gangsa pada acara 10m platform pada Sukan Olimpik London 2012 dan perak acara 10m platform seirama wanita dengan Cheong Jun Hoong pada Sukan Rio 2016, berharap untuk beraksi di Sukan Olimpik kelima berturut-turutnya, sejak penampilan sulungnya di Beijing pada 2008.
Walaupun terlepas kelayakan dalam acara individu, Pandelela masih berpeluang layak menerusi acara 10m platform seirama wanita, berpasangan dengan Nur Dhabitah Sabri pada Selasa.
Empat tempat Olimpik ditawarkan untuk acara seirama di Doha, selepas tiga diambil semasa edisi Fukuoka.