PETALING JAYA: PAS berharap pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 segera dibawa ke persidangan Dewan Rakyat, selepas jaminan diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu juga tidak mempunyai masalah untuk menyokong pindaan tersebut.
“Usaha yang telah dibuat lalu perlu diteruskan dan saya tegaskan kami akan menyokong mana-mana RUU yang tidak bercanggah dengan Islam.
“Kita harap ia dapat disegerakan,” katanya kepada FMT.
Na’im hari ini berkata, pindaan itu dijangka dibawa ke persidangan Dewan Rakyat tahun ini, selepas sesi libat urus dengan semua pemegang taruh agama di setiap negeri.
Tuan Ibrahim juga berkata, PAS menyambut baik kenyataan Na’im kerana usaha itu mampu memperkukuhkan fungsi Mahkamah Syariah dalam negara.
Malah, pentadbiran kerajaan sebelum ini juga katanya telah menyelesaikan banyak perkara berhubung kait pindaan RUU355 namun tergendala sebelum sempat dibawa ke Parlimen.
“Bagi menjamin keutuhan undang-undang Islam, beberapa keperluan perlu ditingkatkan ini termasuk penguat kuasa, pendakwa dan sistem kehakiman.
“Banyak perkara disiapkan di era kerajaan lalu, hanya tinggal membawanya ke Parlimen sahaja. Kita mengalu-alukan sebarang usaha selagi ia menepati hukum digariskan oleh Allah dalam al-Quran dan hadis,” katanya.
RUU 355 diluluskan Jabatan Peguam Negara pada 7 Okt 2022 dan sepatutnya dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat hujung bulan itu. Bagaimanapun, proses itu terbantut akibat pembubaran Parlimen.
Penggubalan semula Akta 355 hasil Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Ke-27 pada 2021 akan menyeragamkan kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.
Source link